nurhanim.osman@bh.com.my
Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memuktamadkan rangka undang-undang dan pentadbiran bagi memindahkan program Tingkatan Enam dan matrikulasi ke bawah bidang kuasanya.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa KPT akan mengambil alih sepenuhnya kedua-dua prauniversiti itu bermula tahun ini.
Beliau berkata, proses peralihan itu perlu diuruskan dengan teliti kerana membabitkan perubahan dari segi perundangan, memandangkan sebelum ini program berkenaan berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
“Perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah menguruskan proses peralihan ini kerana ia membabitkan sedikit perubahan dari segi undang-undang sebab ia sebelum ini, ia berada di bawah KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui media pada sesi Taklimat Media Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (JC) antara Malaysia dan Republik Turkiye serta Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zambry memaklumkan bahawa KPT kini memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan kesinambungan yang lebih menyeluruh dalam sistem pendidikan negara susulan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3.
Beliau berkata, dengan peralihan daripada sistem peperiksaan berimpak tinggi di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah, laluan pendidikan daripada prasekolah hingga ke pengajian tinggi perlu lebih tersusun dan bersepadu.
“Antara perkara paling penting yang perlu kita lihat ialah bagaimana mewujudkan proses kesinambungan daripada peringkat asas hingga ke peringkat tertinggi.
“Kita tidak lagi boleh mempunyai proses yang terpisah-pisah,” katanya.
Zambry berkata, sebelum ini pelajar sering berdepan sistem pendidikan yang tidak selari apabila beralih antara peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.
Sehubungan itu, beliau berkata, penyelarasan itu penting bagi memastikan bakat yang dihasilkan memenuhi keperluan perkembangan global dan kehendak pasaran kerja.
Bagaimanapun, Zambry menegaskan bahawa pembangunan kurikulum perlu kekal berteraskan nilai kemanusiaan.
“Dalam usaha kita memajukan sistem ini, kita tidak boleh melupakan aspek asas iaitu membentuk insan. Kita perlu membina manusia, bukan melahirkan robot,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




