sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Kredibiliti dan keupayaan bintang import Terengganu FC (TFC) menjadi kunci kemenangan bergaya skuad itu membenam Melaka FC dalam saingan Liga Super, malam tadi.
Jurulatihnya, Badrul Afzan Razali bagaimanapun tidak menafikan sumbangan besar pemain tempatan juga turut menjadi faktor kemenangan 4-0 menundukkan pasukan Hang Tuah pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Pada perlawanan itu skuad TFC memperoleh semua jaringan menerusi pemain import mereka iaitu Yann Mabella dua gol dan masing-masing satu gol menerusi Nurillo Tukhtasinov dan Careca.
“Faktor utama kemenangan pada malam ini (malam tadi) ialah semangat juang yang tinggi untuk memburu tiga mata biarpun pada awalnya permainan dilihat bermula sedikit perlahan.
“Bagaimanapun pada aksi separuh masa kedua, pemain dilihat kurang agresif untuk menambah jaringan selepas mendahului 4-0 pada babak pertama, situasi ini sudah tentu merugikan pasukan lebih-lebih lagi lawan bermain dengan sepuluh pemain sepanjang separuh masa kedua.
“Tapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain import dan tempatan yang mengamalkan disiplin yang tinggi sehingga lawan gagal mendapat sebarang jaringan selain setiap gerakan mereka berjaya dipatahkan,” ujar Badrul Afzan ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Kemenangan besar itu menyaksikan skuad Penyu melonjak di tangga kedua liga dengan mengumpul 10 mata selepas lima perlawanan untuk mengekori rapat pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengutip 15 mata.
TFC yang dijangka bakal menyenaraikan import baharu dari Myanmar, Kyaw Min Oo bakal bertandang ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada petang Sabtu ini untuk berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi keenam liga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




