saiful.haizan@bh.com.my
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sokongan terhadap usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara yang terbabit, supaya Israel dan pejuang Palestin, mematuhi gencatan senjata serta mencari penyelesaian berkekalan menamatkan konflik itu.
Sokongan itu dinyatakan Perdana Menteri ketika menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, hari ini.
Pejabat Perdana Menteri berkata, Muhyiddin dan Guterres berkongsi rasa dukacita di atas keganasan yang dilakukan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di wilayah yang didudukinya.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan yang dilakukan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Masjid al-Aqsa, pada 7 Mei lalu.
“Dalam hal ini, Perdana Menteri menzahirkan rasa syukur dan mengalu-alukan gencatan senjata oleh kedua-dua pihak, Israel dan pejuang Palestin di Gaza,” katanya menerusi kenyataan selepas panggilan itu.
Kenyataan itu menyebut, Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB sepakat menyatakan bahawa penderitaan rakyat Palestin perlu dihentikan serta-merta dan amat perlu mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan keamanan berpanjangan untuk kedua-dua pihak.
“Atas dasar itu, Perdana Menteri menegaskan pendirian Malaysia konsisten bagi penubuhan (negara) Palestin yang bebas dan merdeka daripada belenggu penjajahan Israel menerusi penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Pejabat Perdana Menteri berkata, Muhyiddin dan Guterres menyatakan rasa kesal dan bimbang mengenai situasi keselamatan di Myanmar yang tiada perkembangan positif.
Katanya, Perdana Menteri memaklumkan Malaysia dan negara ASEAN lain sudah mengadakan pertemuan pada April lalu bagi mencari jalan penyelesaian menangani krisis di Myanmar.
Tambah kenyataan itu, Perdana Menteri berpandangan PBB dan ASEAN boleh bekerjasama mencari penyelesaian untuk menangani krisis politik di Myanmar, terutama melalui konsensus lima perkara yang dicapai ketika Mesyuarat Pemimpin ASEAN itu.
“Malaysia juga memaklumkan pelantikan Utusan Khas Pengerusi ASEAN dimuktamadkan dalam usaha mencari jalan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat Myanmar,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri menyifatkan, sesi panggilan telefon dilakukan Guterres ke atas Muhyiddin bagi membincangkan isu Myanmar dan Palestin jelas menunjukkan PBB mengiktiraf peranan penting Malaysia dalam isu berkenaan pada peringkat antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




