Jumlah jemaah solat Jumaat, fardu di Wilayah Persekutuan dihadkan

Jumlah jemaah solat Jumaat, fardu di Wilayah Persekutuan dihadkan

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Hanya 50 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Wilayah Persekutuan bagi masjid dan surau Jumaat berkapasiti 1,000 jemaah ke atas, manakala 20 jemaah berkapasiti 1,000 ke bawah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata untuk solat fardu di masjid, surau Jumaat dan surau, bilangan jemaah dibenarkan tidak melebihi 12 orang terdiri daripada pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa (AJK) saja.

Beliau berkata, bagaimanapun, bagi solat Jumaat dan solat fardu di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bilangan jemaah dibenarkan hanya 12 orang terdiri imam, bilal, noja dan AJK.

“Bagi solat fardu di surau PPR dan PA DBKL, bilangan jemaah dibenarkan hanya tiga orang terdiri daripada imam, bilal dan noja atau AJK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, solat Jumaat perlu digantikan dengan solat Zohor, manakala bagi solat fardu dibenarkan dengan bilangan jemaah tiga orang saja iaitu imam, bilal dan noja atau AJK.

Katanya, di kawasan PKPD juga, pengurusan jenazah membabitkan bukan pesakit COVID-19 perlu dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan had maksimum jurumandi dan petugas seramai lima orang.

“Solat jenazah hendaklah tidak melebihi 12 orang jemaah serta kehadiran bagi pengebumian jenazah tidak melebihi 15 orang, termasuk ahli keluarga terdekat,” katanya sambil menambah penjarakan fizikal 1.5 meter perlu dilaksanakan di semua masjid, surau dan surau Jumaat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top