Kritikan bangkit semangat

Kritikan bangkit semangat

am@hmetro.com.my

Walaupun lakonannya sebagai hero dalam sekuel filem Impak Maksima 2 arahan Dr Ahmad Idham menerima kritikan sebelum ini, pendatang baharu, Arfie Shah, 28, tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

Arfie berkata, kritikan juga bukan penghalang buatnya untuk mengembangkan bakat lakonannya ke peringkat antarabangsa.

Selepas mencuri perhatian menerusi drama terbitan produksi Singapura baru-baru ini, Arfie kini dilamar sebuah produksi dari Taiwan untuk beraksi dalam projek drama bersiri di sana.

Walaupun bukan memegang watak utama, Arfie menyifatkan peluang itu sebagai batu loncatan yang cukup bermakna untuk kerjayanya.

“Saya anggap tawaran itu sebagai rezeki kerana dapat terbabit dalam produksi luar negara sudah cukup bermakna.

“Mereka percaya dengan bakat saya walaupun saya orang luar. Itu yang buat saya lebih bersemangat untuk buktikan kemampuan,” katanya.

Ditanya bagaimana syarikat produksi Taiwan berjaya mengesan bakatnya, Arfie berkata, mungkin kerana lakonannya dalam siri drama X-Change yang pernah ditayangkan di sebuah platform penstriman digital sebelum ini.

“Pihak produksi Taiwan menghubungi pengurusan saya dan menawarkan saya watak dalam projek drama bersiri di sana.

“Saya juga dijangka menjalani penggambaran di Taiwan pada awal Oktober ini,” katanya.

Arfie berkata, peluang terbabit dalam produksi luar negara bukan saja pencapaian peribadi, sebaliknya membuka ruang untuk pelakon Malaysia dikenali di pentas antarabangsa.

“Saya pernah melalui fasa sukar dalam kerjaya, ada masa kerja kurang dan ada masa hampir berputus asa. Tapi saya percaya setiap orang ada masa masing-masing. Sekarang saya nampak sedikit demi sedikit pintu rezeki itu terbuka.

“Saya juga jadikan pengalaman bekerja di luar negara ini sebagai satu pembelajaran kerana budaya kerja mereka berbeza. Dari situ kita dapat timba ilmu dan tingkatkan kualiti lakonan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top