Las Vegas: Legenda gusti profesional, Brock Lesnar memberi bayangan bahawa kariernya di WWE mungkin sudah sampai ke penghujung selepas tewas kepada Oba Femi di WrestleMania 42.
ESPN melaporkan Lesnar meninggalkan sarung tangan dan butnya di tengah gelanggang sejurus tamat perlawanan, satu isyarat yang sering dikaitkan dengan pengunduran diri dalam dunia gusti.
Aksi itu bermula dengan kemenangan mengejut Oba Femi ke atas Lesnar pada pembukaan WrestleMania 42 Night 2, dalam keputusan yang dianggap antara detik terbesar dalam karier bintang muda berkenaan.
Pada masa sama, ESPN menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang “unthinkable” apabila Femi berjaya menumbangkan Lesnar di pentas terbesar WWE.
Apa yang lebih mencuri perhatian bukan hanya kekalahan Lesnar, tetapi tindakannya selepas loceng penamat apabila dia meninggalkan but dan sarung tangannya di gelanggang, sekali gus mencetuskan tanda tanya besar sama ada itu benar-benar penampilan terakhirnya.
Jika benar itu noktah kepada perjalanannya, Lesnar akan menutup karier sebagai antara nama paling berpengaruh dalam sejarah WWE moden. Dia mula mencipta impak besar sejurus debut pada awal 2000-an dan terus dikenang sebagai salah seorang figura paling dominan pernah muncul dalam industri itu.
Lesnar bukan saja mencipta nama di WWE, malah turut melakar kejayaan besar di luar gelanggang apabila muncul juara heavyweight UFC dan pernah menjuarai gusti NCAA Divisyen Satu, menjadikan legasinya cukup unik dalam dunia sukan tempur.
Di WWE, antara detik terawal yang melonjakkan namanya adalah ketika menjuarai King of the Ring 2002 sebelum menewaskan The Rock untuk merangkul gelaran utama di SummerSlam pada tahun yang sama, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai bintang generasi baharu ketika itu.
Sepanjang kariernya, Lesnar turut mengumpul pelbagai pencapaian besar termasuk beberapa gelaran dunia, kemenangan di Royal Rumble serta kejayaan menjuarai Money in the Bank, selain dikenali dengan gaya agresif dan aura luar biasa setiap kali muncul di pentas utama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




