syafil.syazwan@hmetro.com.my
Idea Live Arena bakal bergema dengan persembahan tiga bintang terkenal Indonesia iaitu Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito menerusi konsert eksklusif Malam 3 Suara pada 14 Disember ini.
Dibawakan oleh Strategy X Entertainment Sdn Bhd, konsert yang julung kali dianjurkan di Malaysia itu dijangka menarik ribuan peminat, khususnya pengikut setia tiga nama besar yang masing-masing memiliki identiti tersendiri dalam dunia muzik.
Menurut wakil penganjur dari Strategy X Entertainment, Malam 3 Suara bukan sekadar konsert hiburan biasa, sebaliknya sebuah perjalanan emosi yang dirangkai melalui muzik.
“Sesuai dengan namanya, konsert ini menyatukan tiga penyanyi dengan keunikan masing-masing.
“Anggi Marito dikenali dengan kelembutan vokalnya yang penuh ketulusan, Fabio Asher hadir dengan balada penuh emosi yang menyentuh jiwa, manakala Rizky Febian membawa pesona serta gaya persembahan penuh warna.
“Apabila digabungkan, lahirlah harmoni yang saling melengkapi,” katanya.
Dengan konsep yang menyelami kisah cinta, kerinduan, harapan dan kebersamaan, penganjur yakin konsert ini akan memberikan pengalaman muzik bertaraf antarabangsa, tetapi dalam suasana intim yang membuai perasaan.
“Konsert ini dirancang untuk memberikan pengalaman yang bukan saja menghiburkan, tetapi juga menyentuh hati dan meninggalkan memori sukar dilupakan.
“Ia adalah sebuah malam yang meraikan kekuatan tiga suara, tiga jiwa dan satu cerita yang bersatu di pentas untuk penonton,” katanya.
Sepanjang lebih dua jam persembahan, penonton bakal dihidangkan dengan lebih 20 lagu yang dipilih secara teliti. Konsert ini akan dibahagikan kepada beberapa segmen istimewa, termasuk persembahan solo, duet dan kerjasama khas yang hanya boleh disaksikan di pentas Malam 3 Suara.
Setiap penyanyi dijadualkan membawa lagu hits masing-masing, sekali gus menjadikan persembahan ini lebih dekat dengan jiwa peminat.
Bagi Rizky Febian, peluang untuk kembali ke Malaysia adalah sesuatu yang amat dinantikan.
“Saya amat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan bertemu peminat di Malaysia. Ini peluang berharga untuk berkongsi muzik saya secara lebih dekat, sekali gus mencipta kenangan indah bersama anda semua,” katanya.
Malam 3 Suara dijangka menjadi antara acara muzik ikonik hujung tahun ini, bukan sahaja kerana himpunan tiga suara hebat dari Indonesia, tetapi kerana konsepnya yang menekankan perasaan dan keintiman, seolah-olah menemani perjalanan jiwa setiap insan yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd
