KRW FC ‘raja’ di Kelantan

KRW FC ‘raja’ di Kelantan

KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) layak ditabalkan sebagai ‘raja’ apabila sekali lagi menumpaskan Kelantan WTS FC 2-0 pada aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam ini.

Turun dengan misi meraih kemenangan, KRW FC bagaimanapun dipaksa bekerja keras apabila pelawat tidak memberikan laluan mudah kepada mereka untuk mendapatkan jaringan.

Menuju minit-minit akhir perlawanan, tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Abdul Latiff Suhaimi diperintah keluar padang setelah menerima layangan kad kuning kedua kerana melakukan terjahan kasar ke atas Muhammad Aqil Hilman Danial Roslan.

Bermula babak kedua, Philip Dandada Musa meleraikan kebuntuan jaringan apabila meledak gol pertama KRW FC pada minit ke-65 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti.

Stadium Sultan Muhammad IV terus bergema dengan sorakan penyokong setia KRW FC apabila Emmanuel Mbarga tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua pasukannya pada minit ke-80.

Gol tersebut menyaksikan Mbraga mengukuhkan kedudukan selaku penjaring terbanyak Liga A1 Semi-Pro dengan mengumpulkan 30 jaringan setakat ini.

Pasukan pelawat cuba untuk bangkit tetapi gagal merobek gawang tuan rumah sehingga ke tiupan panjang wisel penamat yang memuktamadkan kemenangan KRW di gelanggang keramat mereka.

Kemenangan itu menyaksikan KRW kini mengutip 50 mata untuk terus mengejar rapat Kedah FA yang kini menghuni kedudukan ketiga dengan perbezaan hanya satu mata. – UTUSAN

Scroll to Top