
Kuching City FC berpeluang melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini jika berjaya menjinakkan Selangor FC di laman sendiri pada Sabtu. Foto FB Kuching City FC
KEMENANGAN bergaya 4-1 ke atas PDRM FC di Stadium Negeri pada hujung minggu bukan sahaja menyaksikan Kuching City FC merampas kedudukan kedua Liga Super, malah menyuntik semangat kelab Borneo itu menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC, Sabtu ini.
Pengendali The Cats, Aidil Sharin Sahak berkata, perlawanan itu turut memberi ruang terbaik untuk menilai tahap kecergasan serta keberkesanan taktikal sebelum aksi getir menentang The Red Giants di laman sendiri.
“Alhamdulillah, kami bekerja keras dan perlawanan ini membantu meningkatkan keyakinan pasukan,” katanya.
Menurutnya, penyesuaian taktikal pada babak kedua turut membuahkan hasil apabila pasukannya tampil lebih agresif dan lebih tersusun.
Dalam masa sama, Aidil menegaskan fokus utama ketika ini adalah memastikan skuadnya benar-benar bersedia untuk aksi penentuan ke final Piala Malaysia.
“Kami perlu berikan segalanya kerana ini peluang ke final,” katanya.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan terikat 1-1 semasa separuh akhir pertama di Stadium MBPJ pada 5 April lalu.



