Pemandu bas ekspres meriba wanita dicari polis

Pemandu bas ekspres meriba wanita dicari polis

am@hmetro.com.my

Jasin : Polis sedang giat mengesan pemandu bas ekspres yang dirakam memandu sambil meriba seorang wanita dalam kejadian yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 12 April lalu kira-kira jam 7.30 malam di kawasan susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R & R) Bemban arah selatan.

Menurutnya, rakaman klip video mengenai kejadian itu kemudiannya dikesan polis semalam sekitar jam 5.30 petang sebelum tindakan lanjut diambil.

“Perbuatan pemandu itu sangat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan dan mengganggu tumpuan pemandu. Ia juga membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya memandang serius kejadian itu memandangkan ia membabitkan kenderaan awam yang membawa penumpang dan memerlukan tahap disiplin serta tanggungjawab tinggi daripada pemandu.

Katanya, berikutan video tular itu polis memohon kerjasama pemandu bas ekspres dan wanita dalam rakaman video berkenaan agar tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi membantu siasatan.

“Ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini juga diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain, dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Semalam media melaporkan mengenai rakaman video kejadian itu yang tular sekali gus mencetuskan kebimbangan dan kemarahan dalam kalangan pengguna jalan raya terhadap tahap keselamatan pengangkutan awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top