Pertimbang subsidi minyak untuk pusat kebajikan

Pertimbang subsidi minyak untuk pusat kebajikan

CADANGAN pemberian subsidi minyak kepada pusat kebajikan wajar diberi perhatian serius, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pusat kebajikan bukan sekadar organisasi biasa, sebaliknya menjadi tempat bergantung bagi golongan rentan seperti warga emas, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga miskin.

Dalam menjalankan tugas harian, pusat kebajikan bergantung kepada kenderaan untuk pelbagai urusan. Mereka perlu mengambil bekalan makanan, menghantar penghuni ke hospital, mengurus sumbangan serta melaksanakan aktiviti kebajikan. Semua ini memerlukan kos bahan api yang tinggi dan semakin membebankan.

Kos operasi dapat dikurangkan jika kerajaan menyediakan subsidi minyak secara bersasar kepada pusat kebajikan berdaftar. Secara tidak langsung, mereka boleh menumpukan lebih banyak sumber kepada kebajikan penghuni tanpa gangguan. Bantuan ini juga akan membantu memastikan perkhidmatan penting terus berjalan dengan lancar.

Dalam masa sama, pelaksanaan subsidi perlu disertai sistem pemantauan yang telus. Penggunaan kad khas, kuota bulanan atau mekanisme tuntutan yang jelas boleh mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan. Pendekatan ini penting agar bantuan sampai kepada pihak yang benar-benar memerlukan.

Cadangan ini turut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap sektor kebajikan yang banyak bergantung kepada sumbangan masyarakat. Dengan sokongan tambahan, pusat kebajikan mampu beroperasi dengan lebih stabil dan berkesan.

Subsidi minyak bukan sekadar bantuan kewangan tetapi pelaburan sosial yang memberi impak besar. Jika dilaksanakan dengan baik, langkah ini mampu memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terpelihara dan tidak terpinggir. –UTUSAN

MUHAMMAD SYAFIQ MOHIADIN
Penolong Setiausaha Kehormat,
Pertubuhan Gabungan Rumah Kebajikan Perpaduan Negeri Selangor (PAKAR)

Scroll to Top