
Pemilik kucing berkenaan hampir menangis selepas melihat kucing kesayangannya mengalami bengkak akibat pemberian paracetemol. – Foto: Agensi
BANGKOK – Seekor kucing di Thailand mengalami bengkak pada muka selepas pemiliknya yang sudah berusia memberikannya sebiji paracetamol dewasa kerana menyangka ubat itu dapat membantu haiwan berkenaan yang kelihatan lemah.
Menurut Hospital Veterinar Baan Sat Yim, kes itu dikongsikan sebagai peringatan kepada orang ramai bahawa paracetamol berbahaya kepada kucing dan anjing.
Hospital itu memaklumkan, haiwan peliharaan tidak boleh memetabolismekan ubat tersebut (memproses atau menguraikan sesuatu bahan dalam badan) seperti manusia sehingga menjadikannya toksik, terutama kepada kucing.
Antara gejala keracunan paracetamol pada haiwan termasuk lesu, muntah, bengkak pada muka dan kaki, gusi bertukar ungu gelap, sukar bernafas, darah berwarna perang serta kegagalan hati.
Dalam kes pengambilan dos tinggi, kematian boleh berlaku dengan cepat.
Doktor veterinar yang merawat kucing itu berkata, haiwan tersebut kini pulih sepenuhnya selepas dibawa segera ke hospital oleh pemiliknya.
Menurut doktor berkenaan, pemilik kucing itu kelihatan hampir menangis ketika diberi penjelasan dan jelas sangat menyayangi haiwan peliharaannya.
“Muka yang bengkak itu hampir kelihatan comel dengan caranya sendiri, tetapi jangan biarkan ia berlaku lagi,” ujar doktor tersebut.
Beliau berkata, perkongsian itu bertujuan memberi kesedaran kepada mereka yang benar-benar tidak mengetahui bahaya ubat manusia terhadap haiwan.
“Mujur mereka segera membawanya ke hospital,” katanya.
Hospital tersebut menasihatkan pemilik haiwan supaya tidak memberikan sebarang ubat manusia kepada haiwan peliharaan tanpa nasihat doktor veterinar.
Orang ramai juga digesa mendapatkan rawatan profesional sekiranya haiwan peliharaan sakit dan tidak cuba merawat sendiri menggunakan ubat manusia. – Agensi



