am@hmetro.com.my
PELAWAK dan usahawan, Shahrol, 41, meluahkan rasa syukur selepas berjaya menamatkan pengajian Diploma Profesional dalam Perniagaan dan Pemasaran Digital, sekali gus mampu mengukuhkan perjalanan kerjayanya dalam dunia perniagaan.
Shahrol berkata, dia terdetik untuk menyambung pengajiannya di peringkat diploma apabila aktif mengusahakan perniagaan iaitu ‘Ngeport Cabin’ di Johor selain menguruskan syarikat produksi miliknya.
“Apabila saya uruskan semua ini, sudah tentu saya perlukan ilmu dan ‘tools’ yang betul. Selepas membuat sedikit kajian, saya dapati bidang perniagaan dan pemasaran digital sangat penting untuk pengurusan syarikat. Jadi, sebab itu saya ambil keputusan untuk sambung belajar,” katanya.
Mengimbau kembali perjalanan akademiknya, Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi mengakui pernah tersalah pilih hala tuju selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Selepas SPM, saya isi kursus tak tahu saya minat apa. Ada beberapa pilihan, jadi kita isi saja.
“Akhirnya saya dapat kursus yang salah dan saya terpaksa berhenti pada semester dua. Jadi bila peluang untuk belajar datang semula, saya ambil tanpa rasa ragu,” katanya.
Sementara itu, Shahrol turut berkongsi diploma yang baru diterimanya adalah pengajiannya yang pertama, selepas dua kali percubaan dalam pengajian terdahulu terpaksa dihentikan.
Menurutnya, kegagalan menamatkan pengajian sebelum ini berpunca daripada pemilihan jurusan yang tidak sepadan dengan latar belakangnya di sekolah serta kekurangan disiplin pada usia remaja.
“Sebenarnya dulu saya ‘dismiss’. Memang tak habis belajar. Saya asalnya dari kelas sastera, tapi saya sambung pengajian dalam bidang yang memerlukan subjek sains seperti kimia dan fizik.
“Jadi, saya tak ada asas sains sebab dari aliran sastera, memang sukar nak ‘catch up’. Belajar tentang benda asas macam H2O, memang mencabar. Akhirnya saya ‘dismiss’,” katanya.
Shahrol berkata, pengalaman berkenaan mengajarnya bahawa minat adalah faktor utama dalam kejayaan pendidikan.
“Bila kita buat benda yang kita minat, barulah boleh habiskan. Alhamdulillah kali ini saya minat, jadi dapat tamatkan pengajian saya,” katanya.
Mengulas mengenai pengajian diplomanya, Shahrol memaklumkan dia mengikuti pengajian secara dalam talian pada 2023 selari dengan pendekatan pembelajaran moden.
“Semuanya dalam talian kerana sekarang mudah. Kalau tertinggal kelas pun boleh tengok semula sebab semuanya dirakam,” katanya.
Shahrol mengakui syarikat produksinya masih aktif menjalankan pelbagai projek termasuk penghasilan iklan pendek, kempen promosi serta projek berkaitan pelancongan.
Selepas menamatkan pengajian diplomanya, Shahrol kini merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan sedang meneliti kursus yang sesuai dengan minat serta kerjayanya.
“Saya dalam perancangan untuk sambung ke peringkat ijazah sarjana muda. Sekarang saya tengah meneliti kursus yang saya minat,” katanya.
Mengulas perasaannya selepas berjaya menamatkan pengajian, Shahrol menyifatkan momen itu sebagai satu kemenangan besar bagi dirinya yang perlu mengimbangi komitmen kerja dan keluarga.
“Saya rasa seperti pejuang ilmu lain. Perasaan gembira itu tak dapat digambarkan terutama bila kita dah bekerja.
“Tengah buat tugasan, kadang-kadang kena pergi kerja ke sana ke sini, dengan hal keluarga lagi. Bukan mudah,” katanya.
Namun, bagi Shahrol, perjalanan itu sendiri lebih bermakna berbanding sekadar meraikan kejayaan.
“Kita jangan hanya nikmati kejayaan. Nikmati juga liku-liku perjalanan itu sebab itulah yang akan jadi kenangan paling indah dalam hidup,” katanya.
Menurut Shahrol, pendidikan adalah tuntutan yang tidak pernah berakhir dan menjadi kewajipan setiap individu tanpa mengira usia atau tahap pengetahuan.
“Kalau kita rasa kita paling pandai sekali pun, sebenarnya kita cuma setitis air berbanding lautan ilmu yang luas. Menuntut ilmu ini sebahagian daripada ibadah, jadi ia memang kewajipan,” katanya.
Mengulas cabaran sepanjang pengajian diplomanya, Shahrol berkata, perjalanan tidak terlalu membebankan kerana mendapat sokongan kuat daripada isteri dan keluarganya.
“Terus terang, tak banyak cabaran sebab saya menikmati proses itu. Bila anak demam atau ada hal keluarga, isteri saya yang banyak memudahkan. Dia kata ‘takpe you (awak) pergi, I (saya) jaga anak’. Itu yang meringankan beban,” katanya.
Katanya, walaupun pengajiannya menuntut banyak komitmen, tetapi sokongan padu daripada insan terdekat menjadikan segalanya lebih mudah.
“Cabaran tetap ada, tapi tak banyak sebab saya dikelilingi orang yang faham dan membantu. Itu yang buat semuanya rasa tak mustahil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




