Kukuhkan organisasi! Saifuddin Nasution, Dr Zaliha dilantik Naib Presiden PKR – Fahmi

Kukuhkan organisasi! Saifuddin Nasution, Dr Zaliha dilantik Naib Presiden PKR – Fahmi

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilantik sebagai Naib Presiden PKR yang baharu.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang diadakan di Batu Pahat hari ini.

“Ia (pelantikan itu) bagi mengukuh dan memantapkan lagi organisasi serta gerak kerja parti di peringkat pusat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat PKR turut memutuskan Kongres Tahunan Keadilan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun ini ditangguhkan ke 14 hingga 16 Ogos depan.

Menurutnya, lokasi penganjuran kongres itu bagaimanapun kekal di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

“Penangguhan ini dibuat bagi memberi ruang khususnya kepada PKR Johor dan Negeri Sembilan untuk mempertingkat kesiap siagaan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan jentera PH negeri bagi PRN Johor ke-16 malam ini.

Sebelum ini, PH Johor mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.

Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi DUN, diikuti PH (12), Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.

Untuk rekod, DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Sumber: FB Fahmi Fadzil 

Scroll to Top