Kurang bergantung import! Malaysia berjaya tuai 135.29 tan metrik bawang merah kecil

Kurang bergantung import! Malaysia berjaya tuai 135.29 tan metrik bawang merah kecil

Malaysia berjaya menghasilkan sebanyak 135.29 tan metrik bawang merah kecil sepanjang 2024 hingga 2025 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import tanaman itu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengeluaran tersebut direkodkan menerusi kawasan penanaman seluas 155.29 hektar di seluruh negara, sekali gus menyokong sasaran meningkatkan kadar sara diri (SSR) bawang merah kecil kepada 30 peratus menjelang 2030 demi memperkukuh keselamatan makanan negara.

Menurut beliau, Selangor muncul sebagai negeri paling aktif membangunkan industri bawang merah kecil pada 2025 dengan keluasan tanaman 40 hektar, diikuti Kelantan (30.85 hektar), Perak (28 hektar), Terengganu (satu hektar) dan Perlis (satu hektar).

“Pelaksanaan ini (pembangunan industri bawang) memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan pengeluaran yang berpotensi, penggunaan varieti yang sesuai dengan persekitaran tempatan, serta penerapan teknologi dan amalan pertanian moden bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil.
“Pembangunan ini akan diteruskan pada 2026 dengan melibatkan tambahan kawasan penanaman seluas 61.18 hektar,” katanya ketika menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Bagi memperkukuh pembangunan industri itu, Mohamad berkata Jabatan Pertanian akan menyalurkan insentif kepada petani menerusi Program Pembangunan Industri Bawang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Katanya, bantuan sehingga RM50,000 bagi setiap hektar, dengan had maksimum dua hektar, merangkumi pembangunan dan pengukuhan infrastruktur ladang, penyediaan bahan serta input pertanian, pembekalan mesin, jentera dan peralatan, selain pengeluaran benih bawang merah berkualiti oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Menjawab soalan tambahan mengenai potensi penanaman bawang besar dan bawang putih, Mohamad berkata kerajaan turut meneliti perkara itu, namun ia memerlukan penyelidikan lebih mendalam kerana kedua-dua tanaman berkenaan memerlukan keadaan persekitaran yang berbeza daripada bawang merah kecil.

Beliau berkata, faktor iklim terutama keperluan kawasan yang lebih kering menjadi antara aspek utama yang perlu dinilai sebelum penanaman dapat diperluaskan secara komersial.

“Dengan perubahan cuaca sekarang, kawasan yang lebih kering itu mungkin lebih sesuai untuk tanaman bawang putih pada masa akan datang, namun ia bergantung kepada penyelidikan yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian dan MARDI. Usaha ini masih baharu dan banyak melibatkan percubaan, penyelidikan serta pembangunan teknologi.
“Antara faktor penting yang dikenal pasti ialah kesesuaian tanah, khususnya tanah yang mengandungi kira-kira 30 peratus pasir. Tanah seperti ini banyak terdapat di Pantai Timur dan beberapa kawasan lain,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengakui kos pengeluaran bawang masih tinggi dengan anggaran purata sekitar RM4.50 sekilogram, namun petani masih berpeluang meraih keuntungan sekiranya hasil jualan melebihi kos pengeluaran.

Sumber: Bernama

Scroll to Top