KWSP umum kelayakan dan proses pengeluaran i-Sinar Rabu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan maklumat terperinci mengenai kelayakan dan proses pengeluaran caruman daripada Akaun 1 di bawah program i-Sinar pada Rabu ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pengumuman mengenai program yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 itu akan menjawab segala kekeliruan yang timbul dalam kalangan orang ramai.

“Pihak KWSP akan membuat pengumuman mengenai perinciannya, bagaimana prosesnya dan sebagainya pada Rabu (ini),” katanya ketika menyertai program Ruang Bicara terbitan Bernama TV hari ini.

Tengku Zafrul berkata secara umum, mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji layak membuat pengeluaran sehingga RM10,000 sekiranya baki simpanan dalam Akaun 1 kurang daripada RM90,000.

Mengenai jumlah peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), beliau berkata jumlah peruntukan hanya akan diketahui semasa persidangan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021).

“Di peringkat jawatankuasa, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan membuat pengumuman mengenai peruntukan (J-KOM) dan berapa banyak yang dikurangkan.

“Kementerian Kewangan dan KKMM masih berbincang, apa yang kita mahu lihat dan dipersetujui oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah,” katanya.

 

Sumber : BERNAMA

National Desk