Madrid: Sepanyol kini sah akan diwakili sekurang-kurangnya lima pasukan dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan selepas Lazio tersingkir dari Liga Europa, sekali gus mengesahkan La Liga sebagai antara dua liga terbaik Eropah dari segi prestasi kelab.
Perkembangan itu menyaksikan La Liga menerima satu lagi slot tambahan menerusi skim European Performance Spots yang diperkenalkan Kesatuan Bolasepak Eropah (Uefa) bagi musim 2024/25, di mana dua negara dengan prestasi kelab terbaik di pentas Eropah akan diberikan tempat kelima di UCL.
Liga Perdana Inggeris menjadi liga pertama yang mengesahkan slot tambahan itu lebih awal, dan Sepanyol pula menyusul selepas Athletic Bilbao mara ke separuh akhir Liga Konferensi Eropah, sekali gus menyumbang mata penting buat negara mereka.
Buat masa ini, Villarreal menghuni tangga kelima La Liga dengan 51 mata selepas 30 perlawanan, tiga mata di hadapan Real Betis di tangga keenam dan lapan mata mengatasi Celta Vigo serta Mallorca – dengan ketiga-tiga pasukan pesaing bermain lebih satu perlawanan berbanding Villarreal.
Ini bermakna, kelab yang menamatkan saingan di tempat kelima La Liga – berkemungkinan Villarreal – bakal beraksi di pentas UCL musim depan, bersama empat pasukan teratas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




