Labuan, Putrajaya, Sarawak disarankan sertai PSM

Labuan, Putrajaya, Sarawak disarankan sertai PSM

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga badan induk negeri yang sebelum ini bernaung di bawah Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan Sarawak diharap mengikut jejak langkah Selangor yang kembali bergabung bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, penyertaan semula tiga badan induk negeri itu sangat penting dalam memastikan pembangunan sukan sepak takraw dapat dijalankan dengan lancar tanpa menyisihkan mana-mana pihak atau negeri.

Malah Sumali turut mengulangi pendirian bahawa pihaknya akan menerima mana-mana permohonan persatuan negeri yang mahu kembali bernaung tanpa sebarang syarat.

“Bila semua dah ada dalam PSM, senang untuk kita rencanakan pelbagai program untuk pembangunan serta memartabatkan sukan sepak takraw di negara ini. Sekiranya ada yang tercicir ia akan menyukarkan kita dan satu kerugian buat negeri itu.

“Sebagai contoh kita ambil Sarawak yang mana banyak pemain berbakat dalam kalangan wanita yang kita boleh angkat dan promosi mereka untuk jadi pemain yang berkaliber.

“Tetapi apabila semua kembali bersama, jatuh bangun sepak takraw kita sama-sama tangani duduk berbincang. Ini supaya sukan sepak takraw lebih dihormati bukan sahaja di Malaysia tetapi peringkat antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini pada Sabtu, PSM bersetuju untuk menerima Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) sebagai ahli gabungan mereka selepas badan induk negeri itu menghantar permohonan pada 19 Januari lalu.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, secara prinsip PSS sudah menjadi ahli gabungan badan induk sepak takraw itu dan akan disahkan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi ahli gabungan PSM.

Menurut Abidullah, pihaknya yakin penyertaan PSS itu merupakan sebagian daripada langkah perpaduan semua badan sukan sepaktakraw negeri yang akan menjamin pembangunan secara menyeluruh di seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd