Hal rumah tangga jadi bahan lawak, Azhar Sulaiman, Fizz Fairuz minta hormat privasi

Hal rumah tangga jadi bahan lawak, Azhar Sulaiman, Fizz Fairuz minta hormat privasi

Pelakon, Azhar Sulaiman dan Datuk Fizz Fairuz tampil bersuara berhubung isu sebuah program realiti hiburan yang menyentuh perihal rumah tangga peserta yang dikatakan melampaui batas.

Fizz Fairuz menerusi tangkap layar hantaran Azhar Sulaiman di laman Instagram meminta pasukan produksi supaya menghormati dan berhenti menyentuh isu peribadi seseorang sewaktu sedang mengendalikan sesuatu acara yang diadakan secara terbuka.

“Kepada pasukan Famili Duo, sila elakkan daripada membuat lawak atau memberi komen mengenai rumah tangga Fyna Jebat.

“Awak semua perlu menjaga hati dan perasaan Datin Zalina Zaini (madu Fyna Jebat) yang juga anak saudara saya,”tulis Azhar Sulaiman.

Bukan setakat Azhar sahaja bersuara, malah pelakon filem Mat Tudung juga meminta pihak terbabit berhenti daripada menggunakan hal peribadi seseorang dalam sesebuah program realiti.

Hantaran itu mendapat perhatian ramai termasuk pengacara program realiti berkenaan iaitu Janna Nick dan menegaskan ia bukanlah salah dirinya bertanya soalan sedemikian.

Ujar Janna, dia sendiri tidak tahu perihal rumah tangga peserta Famili Duo iaitu Fyna Jebat yang terpalit dengan isu pergaduhan bersama madu di sebuah restoran pada Isnin.

“Salam, tolong padam gambar saya sebab saya tak ada kena mengena dengan masalah keluarga ini.
“Maaf kerana tidak sensitif mengenai hal ini kerana saya sendiri tidak tahu dan diberitahu terlebih dahulu,”ujar Janna.

Malah, rata-rata warganet mempertahankan ia bukanlah salah Janna Nick kerana bertanya perihal peribadi Fyna Jebat sewaktu di pentas Famili Duo memandangkan dia hanya mengikut arahan sahaja.

Pun begitu, ada juga netizen mengatakan ia tetap menjadi kesalahan tidak kiralah sesiapa sahaja membangkitkan hal rumah tangga di khalayak ramai memandangkan isu poligami sangatlah sensitif.

Apa-apa pun, didoakan semoga semua salah faham ini dapat diselesaikan dan mana-mana pihak produksi peka mengenai sensitiviti peribadi seseorang.

Terdahulu, portal melaporkan kedua-dua isteri bekas jurulatih bola sepak, Dato’ Zainal Abidin Hassan iaitu Datin Zalina Zaini (isteri pertama) dan Fyna Jebat (isteri kedua) bergaduh di sebuah restoran sekitar jam 2 pagi di Shah Alam.

Difahamkan, punca pergaduhan adalah disebabkan isteri pertama berang  disindir oleh madunya dalam satu program rancangan realiti televisyen.

Malah, tidak tahu bahawa wanita berkenaan telah berkahwin dengan suaminya tanpa pengetahuannya.

Sumber: Instagram @fizzfairuzzofficial