Margaret Gan syukur, pertama kali rai Tahun Baharu Cina sebagai Muslim

Margaret Gan syukur, pertama kali rai Tahun Baharu Cina sebagai Muslim

Pelakon veteran, Margaret Gan meluahkan kesyukuran kerana meraikan sambutan Tahun Baharu Cina buat kali pertama sebagai Muslim selepas memeluk Islam pada 15 Februari tahun lalu.

Menurut laporan Harian Metro, aktres berusia 80 tahun itu bersyukur kerana menyambut perayaan dengan memperbanyakkan amalan sedekah selain mampu menghafal surah al-Fatihah dengan baik.

Walaupun sudah lama meraikan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga secara sederhana, tetapi Margaret merasakan sambutan pada tahun ini sedikit berbeza memandangkan dia sudah menganuti agama Islam.

Katanya lagi, sambutan pada tahun ini berbeza kerana ia dihadiri dengan perasaan ketenangan jiwa.

“Saya gembira meraikan Tahun Baharu Cina setiap tahun kerana menghabiskan masa bersama keluarga. Cuma, kali ini saya lebih gembira kerana banyak bersedekah. Ia membuatkan saya sangat seronok dan tenang jiwa,”ujarnya.

Dalam pada itu, Margaret atau nama sebenarnya Gan Ee Kek turut meluahkan kesyukuran kerana dikurniakan rezeki kesihatan yang baik serta berpeluang terlibat dengan aktiviti kebajikan.

“Alhamdulillah, saya juga masih dianugerahkan Tuhan menjalani kehidupan seperti biasa dengan bahagia bersama anak, menantu dan cucu, selain kesihatan yang baik serta peluang terbabit dengan banyak aktiviti kebajikan dianjurkan persatuan-persatuan yang mengajak saya menyertainya.
“Jadual aktiviti saya boleh dikata tetap sibuk walaupun sekarang jarang berlakon kerana watak tidak sesuai,”jelasnya.

Katanya lagi, dia terpaksa menolak tawaran berlakon yang memerlukannya membuka tudung memandangkan kini sudah hidup sebagai seorang beragama Islam.

“Jadual aktiviti saya boleh dikata tetap sibuk walaupun sekarang jarang berlakon kerana watak tidak sesuai.
“Sebagai orang Islam dan bertudung, saya memang menolak tawaran berlakon yang memerlukan saya tidak bertudung,”katanya lagi.

Terdahulu, Margaret bersyukur impian anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 38, untuk melihat dia memeluk agama Islam menjadi kenyataan tahun lalu selepas menunggu dengan sabar bertahun-tahun lamanya.

Perkara itu juga dikongsikan oleh pelakon Serina Redzuwan yang juga anak kepada cef selebriti terkemuka, Chef Wan di laman Instagram.

Sumber: Harian Metro