Baitulmqdis: Tentera Israel pada Rabu menyatakan ia membuka satu laluan tambahan bagi tempoh 48 jam yang boleh diguna penduduk Palestin untuk meninggalkan Gaza.
Ratusan ribu orang berlindung di bandar itu dan ramai enggan ikut arahan Israel untuk berpindah ke selatan. Ini kerana bahaya di sepanjang perjalanan, keadaan susah, kekurangan makanan di kawasan selatan, dan bimbang dipindahkan selamanya.
“Walaupun kami mahu keluar dari Gaza, adakah ada jaminan kami boleh kembali? Adakah perang akan berakhir? Sebab itu saya lebih rela mati di sini, di Sabra, kejiranan saya,” kata Ahmed, seorang guru sekolah, menerusi telefon.
Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di seluruh Semenanjung Gaza pada Rabu dalam serangan terbaru Israel. Ini termasuk 19 orang di Bandar Gaza, kata pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Sehari selepas Israel mengumumkan pelancaran serangan darat untuk mengambil alih pusat bandar utama Gaza, kereta kebal bergerak jarak dekat ke arah kawasan tengah dan barat bandar itu dari tiga arah, tetapi tiada kemaraan besar dilaporkan.
Seorang pegawai Israel berkata operasi ketenteraan fokus kepada usaha memastikan orang awam menuju ke selatan. Pertempuran akan meningkat dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.
Pegawai itu berkata Israel menjangka sekitar 100,000 orang awam akan kekal di bandar itu. Ia akan mengambil masa benerapa bulan untuk menawan bandar itu dan operasi boleh digantung jika satu gencatan senjata dicapai dengan Hamas.
Dalam risalah digugurkan ke atas Bandar Gaza, tentera berkata penduduk Palestin boleh menggunakan Jalan Salahudin yang dibuka semula untuk melarikan diri ke arah selatan yang dibuka sehingga waktu makan tengah hari pada Jumaat.
“Pergerakan hanya boleh berlaku melalui jalan yang ditanda kuning pada peta sebagai laluan ke selatan. Ikut arahan pasukan keselamatan dan tanda lalu lintas,” menurut risalah itu
Tetapi situasi kekal huru-hara dan bahaya bagi orang awam, yang berpusu-pusu keluar berjalan kaki, dengan pedati keldai atau dalam kenderaan sejak beberapa hari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



