Langkah terbaik kembalikan semula nikotin dalam Akta Racun – MCTC

Langkah terbaik kembalikan semula nikotin dalam Akta Racun – MCTC

SHAH ALAM – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memihak kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam isu pengecualian cecair dan gel vape mengandungi nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 disifatkan kemenangan besar kepada kesihatan rakyat negara ini.

Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr M Murallitharan berkata, keputusan itu membuktikan bantahan pihaknya terhadap tindakan kerajaan sebelum ini mempunyai asas kukuh dari sudut kesihatan awam dan perundangan.

Menurutnya, perjuangan membawa isu itu ke mahkamah bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan semakan kehakiman terhadap kerajaan dan menteri yang sedang memegang jawatan ketika itu.

“Kita bersyukur dan berterima kasih. Ini adalah satu isu yang kita perjuangkan bermati-matian kerana ia adalah isu masyarakat. Tidak dinafikan, kita menerima tekanan sangat tinggi supaya menarik balik semakan kehakiman tersebut kerana ada pihak menganggap tindakan itu seperti tidak menyokong kerajaan.

“Tetapi kami mengambil pendirian keputusan mengecualikan nikotin daripada Akta Racun satu kesilapan besar yang tidak boleh dikompromi. Jadi, kita harap kerajaan mengambil iktibar daripada keputusan penghakiman ini.

“Malah, kami juga ingin menjelaskan tindakan yang diambil ini bukan bermotifkan politik atau memalukan mana-mana pihak tetapi berpaksikan kesihatan rakyat. Langkah terbaik yang boleh kita lakukan ialah dengan memulangkan semula nikotin ke dalam akta racun,” katanya kepada Sinar Harian.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat memutuskan keputusan Menteri Kesihatan dan kerajaan mengecualikan cecair serta gel vape mengandungi nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 sebagai tidak rasional.

Hakim, Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas mendapati pengecualian dimasukkan dalam Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.

Katanya, keputusan mengecualikan cecair dan gel nikotin bagi rokok elektronik daripada kawalan Akta Racun dibuat lebih menjurus kepada faktor ekonomi susulan cadangan pengenaan duti eksais terhadap produk itu.

Pada 14 Oktober 2023, MCTC, Pertubuhan Malaysian Green Lung (MGLA) dan Voice of the Children (VOC) sebagai pemohon mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Menteri Kesihatan dan kerajaan sebagai responden pertama dan kedua.

Mengulas lanjut, Murallitharan berkata, MCTC akan membuat advokasi untuk membetulkan semula kesalahan yang dibuat oleh kerajaan berhubung perkara tersebut bagi melindungi kanak-kanak dan golongan belia daripada bahaya ketagihan nikotin.

Menurutnya, ketika ini juga tiada alasan untuk Jemaah Menteri tidak menyokong usaha untuk mengembalikan semula nikotin dalam Akta Racun kerana jelas wujud kelompongan dalam keputusan yang diambil sebelum ini.

“Tiada alasan untuk Jemaah Menteri tidak menyokong untuk senaraikan semula nikotin ke dalam Akta Racun. Isu kehakiman jelas. Sepatutnya pulangkan balik nikotin dalam Akta Racun,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa kerajaan supaya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah kerana tindakan sedemikian boleh memberi persepsi bahawa aspek keuntungan ekonomi lebih diutamakan berbanding kesihatan rakyat.

“Kita harap kerajaan melihat keputusan ini sebagai peluang untuk membetulkan kesilapan lalu dan memperkukuhkan dasar kawalan vape demi melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin,” katanya.

Menurutnya, nikotin sepatutnya kekal sebagai bahan terkawal di bawah Akta Racun kerana ia merupakan bahan ketagihan yang hanya wajar dibekalkan melalui saluran perubatan seperti klinik, farmasi dan pengamal kesihatan bertauliah.

“Apabila nikotin dikeluarkan daripada Akta Racun sebelum ini, vape bernikotin boleh dijual secara terbuka dan keadaan itu menyebabkan akses kepada golongan bawah umur menjadi semakin mudah.

“Kalau nikotin dimasukkan semula di bawah kawalan Akta Racun, ia hanya boleh diperoleh melalui preskripsi atau pemantauan profesional kesihatan,” ujarnya.

 

Scroll to Top