hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis masih menunggu laporan daripada Cyber Security Malaysia (CSM) yang disifatkan sebagai salah satu bukti penting dalam siasatan kes tembak mati tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka, bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar berkata, laporan analisis forensik terhadap rakaman audio yang diserahkan oleh pihak pengadu masih belum diterima setakat ini.
“Rakaman audio berkenaan sudah dihantar untuk dianalisis bagi mengesahkan ketulenan serta mengenal pasti suara yang didakwa berkait dengan kejadian berkenaan.
“Rakaman audio itu adalah salah satu elemen penting dalam siasatan dan kita masih menunggu laporan rasmi daripada CSM sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain analisis audio, polis turut mengambil sampel perbandingan suara daripada ahli keluarga pengadu serta pegawai polis yang terbabit dalam operasi berkenaan bagi tujuan pengesahan.
Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan arahan serta nasihat lanjut sebaik laporan forensik diterima.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Polis Melaka terbuka menerima keputusan AGC yang mengarahkan siasatan kes tembakan membabitkan tiga suspek di Durian Tunggal diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, pihaknya sejak awal sudah menyerahkan sepenuhnya siasatan kes berkenaan kepada Bukit Aman.
Beliau berkata, pihaknya tidak masuk campur langsung dan ini menunjukkan ketelusan dalam menjalankan siasatan serta tidak berat sebelah dan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat.
Selasa lalu, AGC mengarahkan siasatan kes membabitkan tiga lelaki yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Melaka diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Pada 24 November lalu, tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas salah seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal kira-kira jam 4.30 pagi, sehingga menyebabkan mangsa cedera parah pada lengan kirinya.
Semua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian keseluruhan RM1.35 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




