BN lepasi dua pertiga majoriti: pola pengundian PRN Johor
Dapatan kajian Ilham Centre menunjukkan Barisan Nasional (BN) berada pada landasan yang kukuh untuk melepasi garis dua pertiga majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. Faktor paling dominan ialah ‘setting’ PRN yang berlangsung secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU).
Dalam konteks PRN, pertimbangan pengundi lebih tertumpu kepada prestasi kerajaan negeri, rekod pentadbiran, keberkesanan Menteri Besar serta pembangunan yang dapat dirasai secara langsung. Berbeza dengan PRU yang lazimnya dipengaruhi sentimen nasional, ‘setting’ PRN memberi ruang kepada BN memanfaatkan kelebihan sebagai kerajaan negeri tanpa terlalu dibebani persepsi terhadap kerajaan persekutuan.
Pada masa yang sama, Perikatan Nasional (PN) bukan lagi ancaman utama kepada BN sebagaimana berlaku pada PRU15. Kajian lapangan mendapati imej PN semakin tercalar susulan perkembangan hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menghantar isyarat bercelaru kepada penyokong mereka sendiri.
Kekeliruan mengenai hala tuju gabungan, disertai kegagalan menampilkan naratif yang jelas sepanjang kempen, telah melemahkan keyakinan pengundi terhadap kemampuan PN sebagai alternatif yang meyakinkan. Di beberapa kawasan majoriti Melayu, sebahagian penyokong Pas dilihat lebih bersedia memberikan sokongan taktikal kepada BN berbanding mempertahankan kekuatan PN.
Kedudukan BN turut diperkukuhkan oleh kombinasi sempurna antara semua pemboleh ubah yang bergerak seiring. Faktor calon yang lebih dikenali dan mempunyai rekod perkhidmatan, isu kempen yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat serta kekuatan jentera yang tersusun menjadi ramuan utama kejayaan BN.
Berbanding parti lawan yang masih bergelut mencari naratif berkesan, BN berjaya mengekalkan fokus kempen kepada kestabilan politik, kesinambungan pentadbiran dan pembangunan Johor. Keseragaman mesej ini membolehkan jentera bergerak dengan lebih tersusun sehingga ke peringkat lokaliti.
Dapatan kualitatif turut menunjukkan pengundi di Johor lebih cenderung membuat penilaian secara pragmatik berbanding emosional. Dalam suasana ekonomi yang masih mencabar, kestabilan pentadbiran dan keupayaan menyampaikan pembangunan menjadi pertimbangan yang lebih utama berbanding retorik politik.
Keadaan ini memberikan kelebihan kepada BN yang mempunyai rekod pentadbiran negeri untuk dipersembahkan kepada pengundi, sekali gus mengurangkan keberkesanan serangan politik lawan yang banyak tertumpu kepada isu-isu nasional.
Walau bagaimanapun, dapatan ini perlu ditafsir mengikut konteks negeri Johor. Strategi solo BN terbukti berkesan di negeri seperti Johor, namun ia bukan jaminan mutlak untuk diterjemahkan di peringkat nasional. Landskap politik setiap negeri mempunyai struktur demografi, budaya politik dan tahap persaingan yang berbeza.
Oleh itu, kejayaan BN dalam ‘setting’ PRN Johor lebih mencerminkan kesesuaian strategi dengan karakter politik negeri ini dan tidak boleh dianggap sebagai formula yang secara automatik akan menghasilkan keputusan serupa dalam PRU.
Kadar keluar mengundi pengundi Cina menjadi taruhan
Persaingan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Johor sebenarnya berlangsung di medan yang berbeza. BN memperoleh kelebihan di kawasan majoriti Melayu, manakala PH bergantung kepada kekuatan di kawasan majoriti Cina serta kawasan bandar dan separa bandar yang mempunyai kepadatan pengundi tinggi.
Justeru, pemboleh ubah yang menentukan prestasi kedua-dua gabungan juga berbeza. Bagi BN, kestabilan sokongan Melayu menjadi asas kemenangan, manakala bagi PH, penentu utamanya ialah sejauh mana mereka mampu menggerakkan penyokong tradisi keluar mengundi.
Di kawasan majoriti Melayu, dapatan lapangan menunjukkan sokongan Pas menjadi faktor yang menjamin kemenangan BN di banyak kerusi. Selepas perubahan landskap dalam blok pembangkang, sebahagian pengundi Pas tidak lagi melihat PN sebagai pilihan yang mempunyai prospek kemenangan.
Ini menyebabkan berlakunya kecenderungan sokongan taktikal kepada BN di beberapa kawasan yang sebelum ini menjadi medan persaingan sengit tiga penjuru. Fenomena ini mengukuhkan lagi kedudukan BN dalam kelompok pengundi Melayu.
Sebaliknya, cabaran terbesar PH tertumpu kepada kadar keluar mengundi pengundi Cina. Kajian lapangan secara konsisten menunjukkan mood pengundi Cina yang tawar hati dengan prestasi PH mewujudkan suasana kempen yang hambar.
Ia bukan diterjemahkan kepada peralihan sokongan secara besar-besaran kepada BN, tetapi lebih kepada kecenderungan untuk tidak keluar mengundi. Ramai pengundi masih melihat PH sebagai pilihan yang lebih dekat dengan kecenderungan politik mereka, namun tahap keterujaan untuk kembali mengundi berada pada aras yang jauh lebih rendah berbanding PRU15.
Perkara ini menjelaskan mengapa kadar keluar mengundi etnik Cina menjadi pemboleh ubah paling kritikal dalam menentukan keputusan di kawasan bandar dan separa bandar. Dapatan Ilham Centre menunjukkan PH memerlukan kadar keluar mengundi sekurang-kurangnya 65 peratus bagi mengekalkan kelebihan di kerusi-kerusi tersebut.
Sekiranya peratus keluar mengundi berada di bawah jangkaan, beberapa kerusi yang sebelum ini dianggap selesa berpotensi bertukar menjadi kerusi sengit atau beralih kepada BN.
Justeru, ‘delusional’ bahawa keputusan PRU akan berulang secara automatik dalam PRN ternyata tidak berlaku. ‘Setting’ pilihan raya negeri menghasilkan tingkah laku pengundi yang berbeza, khususnya dalam kalangan etnik Cina. Tanpa elemen keterujaan, isu besar atau gelombang nasional yang mampu menggerakkan penyokong keluar mengundi, PH berdepan kesukaran mengulangi prestasi seperti yang dicapai pada PRU15.
Pengundi muda: ‘Candidate Centric’ dan ‘Late Decider’
Kajian Ilham Centre mendapati kelompok pengundi muda yang membentuk 48 peratus keseluruhan pengundi, khususnya pengundi pertama kali, semakin memperlihatkan corak pengundian yang terlalu ‘candidate centric’.
Walaupun sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai kesedaran politik yang mendalam, keinginan untuk keluar mengundi adalah tinggi. Mereka melihat proses mengundi sebagai tanggungjawab sivik, namun belum membentuk kesetiaan yang kukuh kepada mana-mana parti politik.
Satu lagi ciri penting ialah mereka merupakan kumpulan ‘late decider’. Keputusan politik lazimnya hanya dimuktamadkan pada penghujung tempoh kempen selepas mereka menilai calon, mengikuti perkembangan media sosial dan berbincang dengan rakan sebaya. Corak ini menyebabkan perubahan sokongan dalam kalangan pengundi muda berlaku dengan pantas dan sukar diramalkan sehingga hari pengundian.
Berbeza dengan generasi terdahulu, tiada pilihan mutlak dalam kalangan pengundi muda. Pengaruh pilihan tradisi keluarga semakin minimum, manakala identiti parti bukan lagi faktor dominan. Sebaliknya, pertimbangan terhadap calon menjadi keutamaan.
Mereka menilai keupayaan calon berkomunikasi, rekod perkhidmatan, keterlihatan di kawasan (dan media sosial) serta kesungguhan menyelesaikan isu setempat. Akibatnya, keputusan saat akhir dalam kalangan pengundi muda sering menghasilkan pecahan sokongan yang lebih sekata dan sukar dijangka, tanpa memberikan kelebihan mutlak kepada mana-mana blok politik.
Dalam keadaan sedemikian, kelebihan jelas berpihak kepada penyandang yang ‘perform’. Penyandang yang mempunyai rekod kerja, mudah ditemui rakyat dan aktif sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat memperoleh tahap kepercayaan yang lebih tinggi, termasuk dalam kalangan pengundi muda. Rekod prestasi menjadi modal politik yang jauh lebih bernilai berbanding jenama parti semata-mata.
Sebaliknya, calon baharu berdepan cabaran yang lebih besar untuk memperkenalkan keupayaan diri. Tempoh kempen yang singkat menyebabkan ramai calon baharu masih bergelut membina pengenalan, kredibiliti dan keyakinan pengundi. Dalam pertandingan yang semakin ‘candidate centric’, kekuatan individu calon semakin menjadi penentu utama, khususnya di kerusi-kerusi marginal yang mempunyai komposisi pengundi muda yang tinggi.
Onn Hafiz lebih popular daripada Anwar
PRN Johor menyaksikan pertandingan yang bukan sahaja melibatkan parti politik, malah turut memperlihatkan persaingan antara dua figura utama, iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Walaupun kedua-duanya turun berkempen secara agresif sepanjang tempoh pilihan raya, dapatan kajian Ilham Centre menunjukkan pengundi lebih cenderung menilai prestasi kerajaan negeri berbanding kerajaan Persekutuan.
Dalam ‘setting’ PRN, pertimbangan pengundi lebih bersifat lokal, dengan fokus terhadap siapa yang mentadbir Johor, keberkesanan pentadbiran negeri serta manfaat yang dirasai secara langsung oleh rakyat.
BN dilihat mendahului dari sudut penerimaan kempen apabila menjadikan prestasi Menteri Besar sebagai modal utama untuk menarik sokongan pengundi. Naratif kempen dibina atas kesinambungan pentadbiran, kestabilan politik dan rekod prestasi Onn Hafiz yang disokong oleh pembangunan berskala besar seperti Sistem Transit Laju (RTS), pembangunan Data Centre, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta pelbagai bentuk bantuan tunai kerajaan negeri.
Dapatan kajian lapangan Ilham Centre turut merekodkan tahap populariti Onn Hafiz mencecah 79 peratus, sekali gus menjadikan beliau aset politik paling penting kepada BN sepanjang kempen berbanding populariti Anwar yang mencatatkan 40 peratus dalam kalangan responden.
Sebaliknya, PH dilihat terlalu bergantung kepada pengaruh Perdana Menteri untuk mengangkat momentum kempen. Walaupun Anwar turun ke banyak kawasan dan menjadi wajah utama kempen PH, pendekatan tersebut tidak berjaya diterjemahkan kepada pembentukan gelombang sokongan yang ketara.
Berbanding ketika menjadi pembangkang yang banyak bergantung kepada isu nasional seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), PH kini berdepan kesukaran menjual naratif kejayaan kerajaan Persekutuan dalam konteks pilihan raya negeri.
Kajian lapangan mendapati sebahagian besar pengundi juga tidak dapat menyatakan dengan jelas apakah tema atau isu utama yang sedang dibawa oleh PH sepanjang kempen, selain menyeru supaya kerajaan Persekutuan diberikan sokongan.
Keadaan ini menyebabkan beberapa usaha PH untuk mengubah rentak kempen tidak memberikan impak yang signifikan. Cubaan menjadikan perdebatan antara Dr Maszlee Malik dan Onn Hafiz sebagai tumpuan kempen tidak berjaya direalisasikan, manakala naratif integriti, akauntabiliti serta persoalan mengenai siapa yang benar-benar menikmati manfaat pembangunan Johor gagal mengatasi perhatian pengundi terhadap isu ‘bread-and-butter’.
Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, mobiliti harian ke Singapura, perumahan mampu milik dan kesesakan lalu lintas kekal menjadi pertimbangan utama merentas kaum, umur dan kawasan.
Dalam masa yang sama, perang mulut antara Menteri Besar dan Perdana Menteri lebih banyak berlegar di media sosial, khususnya TikTok dan Facebook yang digerakkan oleh penyokong parti, tanpa benar-benar membentuk sentimen dominan di peringkat akar umbi.
Secara keseluruhannya, PRN Johor memperlihatkan bahawa populariti Menteri Besar berjaya mengatasi pengaruh Perdana Menteri dalam membentuk kecenderungan pengundi.
BN lebih berjaya menyesuaikan kempen dengan karakter pilihan raya negeri melalui kerja kuat Onn Hafiz serta rekod pentadbiran kerajaan negeri yang mudah diterjemahkan kepada pengalaman harian rakyat.
Sebaliknya, PH dilihat terlalu bergantung kepada karisma Perdana Menteri dan pencapaian kerajaan Persekutuan, sedangkan ‘setting’ PRN lebih memerlukan naratif tempatan yang dekat dengan kehidupan pengundi.
Dapatan ini memperlihatkan bahawa dalam pilihan raya negeri, kredibiliti kepimpinan di peringkat negeri masih menjadi faktor yang lebih dominan berbanding pengaruh pemimpin di peringkat nasional.
PN hilang arah: Daripada pencabar utama kepada nilai tambah yang menjamin kemenangan BN
Di atas kertas, PN sepatutnya muncul sebagai pencabar utama kepada BN dalam PRN kali ini. Prestasi PN menunjukkan peningkatan yang ketara daripada PRN Johor 2022 kepada PRU15, khususnya di kawasan majoriti Melayu apabila berjaya menggandakan sokongan dan menembusi kubu tradisi UMNO.
Berdasarkan trajektori tersebut, ramai menjangkakan PRN kali ini menjadi pentas untuk PN meneruskan momentum dan memberi saingan lebih sengit kepada BN di jajaran kerusi majoriti Melayu, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan pengundi muda.
Namun begitu, perkembangan politik sepanjang lebih dua tahun kebelakangan ini mengubah keseluruhan landskap tersebut. Dinamika hubungan yang semakin tegang antara Pas dan Bersatu menjejaskan keyakinan penyokong terhadap kesepaduan PN.
Isyarat politik yang bercelaru mengenai hala tuju gabungan, disertai kegagalan menampilkan kepimpinan dan strategi yang jelas menjelang pilihan raya, telah menghakis imej PN sebagai sebuah alternatif yang bersedia mengambil alih pentadbiran negeri.
Keadaan ini menyebabkan PN memasuki PRN Johor dalam keadaan tempang dan tanpa persediaan yang mencukupi. Dapatan menunjukkan sebahagian penyokong tradisi PN kecewa dengan kelemahan penyelarasan jentera, kempen yang kurang tersusun serta kegagalan menampilkan naratif yang mampu menandingi kelebihan BN.
Di banyak kawasan majoriti Melayu, pertandingan yang pada asalnya dijangka sengit akhirnya lebih memihak kepada BN apabila PN gagal memanfaatkan asas sokongan yang dibina sejak PRU15.
Dalam masa yang sama, PH tidak berupaya memberikan cabaran yang signifikan di kawasan majoriti Melayu. Keadaan ini menjadikan pertandingan di kawasan tersebut sepatutnya memberi ruang kepada PN untuk muncul sebagai pencabar utama. Namun kelemahan dalaman PN telah mengubah dinamik persaingan.
Akibatnya, sebahagian pengundi yang sebelum ini cenderung kepada PN memilih untuk kembali menyokong BN atas pertimbangan sentimen, manakala sebahagian lagi mengambil pendekatan berkecuali. Senario ini akhirnya memberi limpahan kelebihan kepada BN di banyak kerusi majoriti Melayu.
Satu dapatan yang menarik ialah sebahagian besar pengundi muda yang sebelum ini obses dengan PN sebenarnya tidak menyedari sepenuhnya keretakan hubungan antara Pas dan Bersatu. Mereka masih melihat PN sebagai satu jenama politik yang utuh, sedangkan di peringkat kepimpinan, gabungan tersebut sedang berdepan krisis keyakinan dan hala tuju.
Jurang antara persepsi akar umbi dengan realiti elit politik menyebabkan PN gagal menterjemahkan sokongan laten ini kepada gerak kerja pilihan raya yang berkesan. Dalam konteks PRN Johor, kelemahan tersebut bukan sahaja menyebabkan PN gagal muncul sebagai pencabar utama, malah secara tidak langsung menjamin laluan yang lebih mudah kepada BN untuk menguasai sebahagian besar kerusi majoriti Melayu.
BN bertanding mengikut ‘setting’ PRN, PH masih berfikir dalam kerangka PRU
PRN Johor memperlihatkan kedua-dua gabungan utama memasuki gelanggang dengan kerangka strategi yang berbeza. BN menyusun strategi berdasarkan karakter sebenar pilihan raya negeri, manakala PH dilihat masih dipengaruhi oleh momentum dan pencapaian PRU15.
Perbezaan dalam membaca ‘setting’ pilihan raya ini akhirnya mempengaruhi pendekatan kempen, pemilihan isu, sasaran pengundi dan strategi mobilisasi yang digerakkan oleh kedua-dua gabungan.
Bagi BN, pengalaman memenangi PRN Johor 2022 menjadi rujukan penting dalam merangka kempen. Fokus diberikan kepada pengukuhan sokongan teras Melayu, mengekalkan naratif kestabilan pentadbiran negeri, memperkukuh kekuatan calon dan memastikan jentera bergerak secara tersusun sehingga hari pengundian.
Strategi ini dibina atas andaian bahawa tingkah laku pengundi dalam PRN lebih dipengaruhi oleh prestasi kerajaan negeri, kepimpinan Menteri Besar dan isu-isu tempatan berbanding sentimen nasional. Dapatan kajian menunjukkan pendekatan tersebut berjaya disesuaikan dengan mood pengundi Johor sepanjang kempen.
Sebaliknya, PH dilihat masih banyak berfikir dalam kerangka PRU, khususnya dengan menjadikan pencapaian PRU15 sebagai asas jangkaan terhadap prestasi mereka dalam PRN. Hakikatnya, kedua-dua pilihan raya mempunyai dinamika yang berbeza.
Semasa PRN Johor 2022, kadar keluar mengundi hanya 54.9 peratus, sebahagiannya dipengaruhi oleh situasi pasca-pandemik Covid-19.
Beberapa bulan kemudian, PRU15 mencatat lonjakan hampir 20 peratus kepada 74.9 peratus, sekali gus mengubah landskap persaingan, terutama di kawasan bandar dan majoriti Cina. Prestasi PH ketika itu banyak dipacu oleh gelombang keluar mengundi yang jauh lebih tinggi serta sentimen nasional yang kuat.
Dapatan Ilham menunjukkan andaian bahawa momentum PRU15 akan berulang dalam PRN ternyata tidak berlaku. Tahap keterujaan pengundi jauh lebih sederhana, isu nasional tidak lagi menjadi pemacu utama, manakala perhatian pengundi lebih tertumpu kepada prestasi pentadbiran negeri dan penyelesaian isu harian.
Dalam keadaan ini, PH berdepan kesukaran membina gelombang baharu yang mampu menggerakkan penyokong keluar mengundi pada skala yang sama seperti PRU15.
Secara keseluruhannya, PRN Johor memperlihatkan bahawa kejayaan strategi politik banyak bergantung kepada keupayaan memahami ‘setting’ pilihan raya yang sedang dihadapi. BN lebih awal menyesuaikan kempen dengan karakter PRN yang menekankan kestabilan, prestasi kerajaan negeri dan kekuatan organisasi.
Sebaliknya, PH dilihat masih membawa sebahagian pendekatan dan jangkaan yang dibentuk oleh pengalaman PRU15. Perbezaan bacaan strategik ini menjadi antara faktor yang menjelaskan mengapa BN lebih berjaya menguasai rentak pertandingan sejak awal kempen.
Parti kecil tidak dapat tumpuan, gagal bentuk gelombang baharu
PRN Johor memperlihatkan bahawa kehadiran parti-parti kecil tidak banyak mengubah struktur persaingan yang kekal didominasi oleh BN dan PH.
Walaupun terdapat jangkaan bahawa parti seperti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) mampu menawarkan alternatif kepada pengundi, dapatan Ilham menunjukkan kedua-duanya gagal membentuk gelombang baharu yang mampu mempengaruhi corak pengundian secara signifikan.
Sebaliknya, kempen mereka tenggelam dalam persaingan antara parti-parti utama sehingga sukar menarik perhatian pengundi.
Bagi Muda, strategi kempen dilihat terlalu bergantung kepada populariti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai aset utama parti. Namun, populariti tersebut tidak berjaya diterjemahkan kepada sokongan yang meluas di Johor.
Dapatan turut menunjukkan persepsi pengundi bahawa kemenangan Muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada PRN 2022 lebih banyak disumbangkan oleh kedudukannya sebagai sebahagian daripada gabungan PH ketika itu dan bukannya semata-mata faktor populariti Syed Saddiq.
Apabila bertanding secara bersendirian, Muda gagal mengekalkan kelebihan yang pernah dinikmati pada pilihan raya lalu.
Kehadiran Muda di beberapa kerusi seperti Simpang Jeram, Maharani, Bukit Batu dan Puteri Wangsa juga lebih banyak memberi kesan kepada pecahan undi dalam blok pembangkang berbanding membina kekuatan baharu. Akibatnya, pertandingan di kerusi-kerusi tersebut menjadi lebih menguntungkan BN berbanding meningkatkan daya saing Muda sendiri.
Situasi yang hampir sama turut berlaku kepada parti Bersama. Walaupun parti ini cuba membawa imej politik generasi baharu, kempen yang dijalankan gagal membentuk fenomena atau gelombang baharu dalam kalangan pengundi.
Sebaliknya, mereka dilihat terperangkap dalam pendekatan kempen yang tidak banyak berbeza dengan parti-parti sedia ada. Beberapa kontroversi yang melibatkan calon sepanjang tempoh kempen pula telah menenggelamkan usaha parti tersebut untuk menampilkan naratif alternatif, sekali gus mengehadkan keupayaannya memberi cabaran yang signifikan kepada parti-parti utama.
Secara keseluruhannya, dapatan kualitatif Ilham Centre menunjukkan sebahagian pengundi melihat Muda dan Bersama sekadar sebagai “kacau daun” dalam persaingan PRN Johor. Istilah ini menggambarkan persepsi bahawa kehadiran mereka lebih banyak memecahkan undi blok pembangkang berbanding menawarkan pilihan ketiga yang benar-benar berdaya saing.
Dalam keadaan persaingan yang semakin tertumpu kepada rekod pentadbiran, kekuatan jentera dan kredibiliti calon, parti-parti kecil masih belum berjaya meyakinkan pengundi bahawa mereka mempunyai kapasiti untuk menjadi alternatif politik yang realistik di Johor.
Prediksi Ilham
Atas faktor-faktor di atas, Ilham Centre mengunjurkan BN berada pada kedudukan yang selesa untuk membentuk kerajaan dengan berpotensi melepasi majoriti dua pertiga. Daripada 56 kerusi DUN, BN dijangka mendahului di 39 kerusi, PH di sembilan kerusi, manakala lapan kerusi masih berada dalam kategori sengit.
Kelebihan BN dibina daripada kombinasi calon yang lebih awal bekerja di kawasan, kekuatan jentera, sokongan teras Melayu yang kekal stabil serta populariti Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang tinggi merentas kaum dan generasi.
Sebaliknya, perpecahan sokongan dalam blok pembangkang, kelemahan PN sebagai pencabar utama serta kegagalan PH membina naratif kempen yang dominan telah memperkukuhkan lagi kedudukan BN.
Lapan kerusi sengit iaitu Tenang, Tangkak, Maharani, Layang-Layang, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Kota Iskandar dan Bukit Batu masih mempunyai tahap volatiliti yang tinggi dan dipengaruhi oleh tiga angkubah utama.
Pertama, kadar keluar mengundi, khususnya pengundi Cina di kawasan bandar dan separa bandar serta pengundi Melayu di kerusi campuran. Kedua, arah sokongan penyokong PN, terutama selepas perpecahan Pas dan Bersatu yang dijangka memberi limpahan sokongan kepada BN di beberapa kawasan.
Ketiga, sekitar 17 peratus pengundi yang masih belum membuat keputusan, didominasi pengundi muda yang bersifat ‘late decider’, lebih menilai personaliti dan rekod prestasi calon berbanding jenama parti serta banyak dipengaruhi oleh media sosial menjelang hari pengundian.
Latar Belakang Kajian
Untuk mendapat gambaran perjalanan keseluruhan Pilihan Raya Negeri Johor ini serta sikap, tingkah laku dan pola kecenderungan pengundi akhir; Ilham Centre telah melaksanakan kajian lapangan bermula 26 Jun sehingga 9 Julai 2026 yang melibatkan dua metodologi utama iaitu kuantitatif iaitu kaji selidik secara tatap muka di lapangan menggunakan kaji selidik dan protokol temu bual separa berstruktur manakala kualitatif – perbincangan kumpulan fokus (FGD) serta temu bual mendalam (in-depth interview).
Selain itu, analisis statistik terhadap ‘scoresheet’ keputusan PRN 2022 dan Pilihan Raya Umum 2022 di Johor turut dilakukan untuk mendapatkan ‘insight’ yang lebih mendalam.
Seramai 1,250 responden telah ditemui di lapangan merangkumi semua segmentasi pengundi. FGD melibatkan sembilan kumpulan (76 informan) dan temu bual mendalam (18 informan).
Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini merangkumi seluruh 56 DUN dengan kaedah persampelan rawak berstrata meliputi semua segmentasi kaum, jantina, umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan yang pelbagai, julat pendapatan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza.
Ralat kajian yang ditemui ialah 2.77 peratus. Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.
*Laporan disediakan oleh panel penyelidikan Ilham Centre yang terdiri daripada Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik) dan Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik).



