Lawan COVID-19 dengan semangat patriotik

Lawan COVID-19 dengan semangat patriotik

suzalina@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu menerapkan semangat patriotik ketika berdepan krisis COVID-19 dengan melaksanakan pengurungan diri secara sukarela bagi tempoh dua minggu ini bagi memulihkan negara.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata krisis COVID-19 adalah ujian terhadap semangat patriotik rakyat Malaysia dalam menghadapi krisis pandemik dalam negara.

Sehubungan itu, katanya, tiba masanya untuk rakyat Malaysia menunjukkan semangat cintakan negara dengan berjuang memerangi COVID-19, selain akur dengan pelaksanaan kerajaan mengawalnya melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam tempoh pengurungan ini juga, rakyat dinasihatkan mengurangkan aktiviti sosial dan keagamaan bagi membendung penularan wabak semakin serius.

“Melalui cara ini, kita dapat menunjukkan kita rakyat yang patriotik terhadap negara dan bersatu hati untuk tangani isu COVID-19 tanpa mengira etnik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengisytiharkan PKP di seluruh negara bermula esok hingga 7 Jun bagi membendung penularan wabak ini dan mencegah keadaan menjadi lebih buruk.

Lam Thye berkata, dalam masa menghadapi krisis kesihatan sekarang, rakyat menjadi harapan negara untuk melandaikan lekuk kes COVID-19 yang semakin meningkat.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga sudah menjalankan tindakan wajar bagi mengelak ia menjadi lebih buruk dengan jangkitan mungkin melebihi 5,000 kes sehari.

“Kita mungkin menghadapi situasi buruk yang berlaku di India apabila fasiliti kesihatan lumpuh sepenuhnya.

“Minggu ini, kita dikejutkan dengan jumlah kes mencecah melebihi 4,500, malah jumlah kematian sehari melebihi 20 kes dan ini sangat membimbangkan.

“Ini harus diambil serius oleh seluruh rakyat Malaysia supaya kes tidak menjadi lebih buruk pada masa depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top