Lawatan kerja Menteri Pertahanan ke Türkiye

Lawatan kerja Menteri Pertahanan ke Türkiye

KUALA LUMPUR – Pada 21 Mei 2026, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan lawatan di Istanbul bagi memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Türkiye.

Lawatan kerja tersebut merangkumi pertemuan dengan beberapa syarikat pertahanan Türkiye bagi memperkukuh kerjasama industri pertahanan antara kedua-dua negara, termasuk me- ningkatkan penglibatan syarikat tempatan Malaysia.

Antara agenda utama lawatan ialah menghadiri Majlis Penamaan dan Pelancaran Kapal Pertama Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) yang sedang dibina oleh STM, syarikat teknologi pertahanan dan kejuruteraan dari Republik Türkiye.

Sepanjang lawatan kerja itu, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan syarikat pertahanan Türkiye, Makine ve Kimya Endüstrisi A.S. (MKE) yang diketuai oleh Tolga Celik.

Pertemuan tersebut membincangkan potensi Malaysia sebagai hab sokongan pertahanan serantau, selain kerjasama strategik jangka panjang, pemindahan teknologi dan perkongsian industri pertahanan antara kedua-dua negara.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Desan Shipyard yang diketuai oleh Cenk İsmail Kaptanoğlu.

Perbincangan kedua-dua pihak itu memberi fokus kepada potensi kerjasama dalam meningkatkan penglibatan syarikat tempatan Malaysia khususnya dalam pembinaan kapal, sokongan teknikal, penyelenggaraan, pembangunan vendor dan rantaian bekalan.

Selain itu, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan syarikat pertahanan Türkiye, HAVELSAN.

Menerusi pertemuan itu, beliau berpeluang meninjau lebih dekat teknologi dan inovasi HAVELSAN khususnya dalam Combat Management System (CMS), sistem simulasi, kecerdasan buatan (AI) serta sistem sokongan keputusan bagi operasi ketenteraan moden.

Lawatan itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Istanbul bagi menyempurnakan Upacara Penamaan dan Pelancaran LMSB2 pertama di Istanbul Shipyard.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda turut diiringi oleh Tunku Idris Al-Haj ibni Sultan Ibrahim, Tunku Abdul Rahman AlHaj ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Abu Bakar Al-Haj ibni Sultan Ibrahim.

Pertemuan dengan pemain industri

Raja Zarith Sofiah menyempurnakan Upacara Penamaan dan Pelancaran LMSB2 pertama, Tunku Laksamana Abdul Jalil, di Istanbul Shipyard, Türkiye.

Raja Zarith Sofiah menyempurnakan Upacara Penamaan dan Pelancaran LMSB2 pertama, Tunku Laksamana Abdul Jalil, di Istanbul Shipyard, Türkiye.

Kerjasama industri pertahanan antara Malaysia dan Republik Türkiye bukan sekadar hubungan komersial, sebaliknya berteraskan pembinaan hubungan jangka panjang berasaskan kepercayaan, kesinambungan dan kepentingan bersama.

Semasa lawatan kerja ke Republik Türkiye, Mohamed Khaled bertemu beberapa syarikat negara itu yang terlibat dalam pembekalan komponen kapal LMS.

Beliau berkata, ada antara mereka telah mengenal pasti syarikat tempatan untuk bekerjasama, termasuk bagi pemindahan teknologi dan pembangunan keupayaan tempatan.

Jelasnya, ini bermakna pada masa akan datang, beberapa komponen kapal berpotensi dilaksanakan oleh syarikat tempatan.

“Menjelang 2027, apabila ketiga-tiga kapal LMS Batch 2 ini diterima, TLDM akan mempunyai tujuh buah LMS secara keseluruhan. Keperluan keseluruhan ialah 18 buah LMS, maka kita perlu merancang pembinaan 11 buah lagi.

“Perancangan ini tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan dan kelulusan peruntukan. Selepas LMS Batch 2 diterima, kita akan merancang dan memohon kelulusan kerajaan untuk pembinaan seterusnya, mengikut apa yang diluluskan.

“Pada akhirnya, sasaran kita adalah untuk melengkapkan 18 buah LMS. Dalam usaha ini, aspek commonality dan interoperability sangat penting kerana wajar untuk kita menggunakan acuan atau template yang sama supaya kapal-kapal ini mempunyai persamaan dari segi peralatan, sistem dan keupayaan operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘The Naming and Launching Ceremony of the First Royal Malaysian Navy’.

Selepas beberapa hari mengadakan lawatan, Majlis Penamaan dan Pelancaran kapal pertama Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berlangsung dengan penuh istiadat.

Majlis tersebut disempurnakan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selaku Penaung Diraja kapal berkenaan.

Kapal berkenaan dinamakan sebagai ‘Tunku Laksamana Abdul Jalil’ sebagai penghormatan kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil, putera kepada Yang diPertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, yang dikenang kerana keberanian dan semangat juangnya ketika melawan penyakit kanser.

Mohamed Khaled berkata, penamaan kapal tersebut disifatkan sebagai penghargaan yang amat bermakna terhadap legasi Almarhum Tunku Abdul Jalil yang melambangkan keberanian, ketabahan dan kecekalan.

Menurutnya, ia merupakan nilai yang selari dengan semangat dan perjuangan TLDM.

“Almarhum Tunku Abdul Jalil juga dikenali sebagai seorang kerabat diraja yang dekat di hati rakyat serta pengasas Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor pada tahun 2015.

“Ungkapan ‘Fight Like Jalil’ yang sinonim dengan baginda terus menjadi simbol kekuatan dan semangat juang rakyat Malaysia.

Beliau memberitahu, LMSB2 pertama yang ditempah pada Jun 2024 telah diluncurkan pada 24 Mei 2026, diikuti kapal kedua pada Jun dan kapal ketiga pada Ogos tahun sama.

Menurut Mohamed Khaled, peluncuran kapal merupakan tradisi tentera laut yang menandakan pembinaan kerangka kapal telah siap sebelum menjalani ujian seterusnya seperti harbour test dan sea trial.

“Pembinaan tiga kapal LMS di Republik Türkiye berjalan mengikut jadual sejak kontrak dimeterai pada 2024 dan dijangka mula diterima Malaysia pada penghujung 2027 tanpa menghadapi masalah besar seperti projek Littoral Combat Ship (LCS) sebelum ini.

“Malaysia turut menyatakan penghargaan kepada Türkiye atas komitmen dan kepakaran teknikal yang ditunjukkan sepanjang pelaksanaan projek berkenaan, selain berharap hubungan strategik itu dapat diperluaskan dalam bidang pertukaran teknologi dan pembangunan industri pertahanan tempatan,” ulasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled turut memaklumkan kemajuan projek LCS berada pada tahap memuaskan setakat April 2026. LCS 1 telah mencapai 84.30 peratus, diikuti LCS 2 sebanyak 79.48 peratus, LCS 3 sebanyak 71.22 peratus, LCS 4 sebanyak 60.52 peratus dan LCS 5 sebanyak 49.71 peratus.

Jadual penyerahan kapal kekal seperti dirancang iaitu LCS 1 pada Disember 2026, diikuti LCS 2 pada Ogos 2027, LCS 3 pada Disember 2027, LCS 4 pada Ogos 2028 dan LCS 5 pada April 2029.

 

 

Artikel Disyorkan

Scroll to Top