Keraguan tahap mental Trump meningkat menjelang pemeriksaan tahunan

Keraguan tahap mental Trump meningkat menjelang pemeriksaan tahunan

WASHINGTON – Keraguan terhadap tahap kesihatan mental Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan semakin meningkat ketika beliau dijadual menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan di Walter Reed Medical Center pada Selasa.

Memetik laporan The Independent, tinjauan pendapat terbaharu mendapati, lebih separuh rakyat Amerika percaya keupayaan mental Trump menunjukkan kemerosotan ketara sepanjang tahun lalu, sekali gus menghidupkan semula perdebatan mengenai tahap kecergasan mental pemimpin berusia hampir 80 tahun itu.

Menurut laporan itu, penampilan Trump dalam beberapa acara rasmi di Rumah Putih dan siri kempennya sejak kebelakangan ini sering dicemari dengan ucapan yang didakwa meleret, menyimpang daripada topik asal serta mengandungi kenyataan tidak berkaitan.

Trump sendiri sebelum ini menyifatkan gaya percakapannya itu sebagai ‘The Weave’ (gaya percakapan yang meleret dan menyimpang daripada topik).

Bagaimanapun, masih belum dipastikan sama ada Trump akan menjalani ujian kognitif ketika pemeriksaan kesihatan tersebut, walaupun beliau sering mendakwa berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam ujian sama sepanjang kempen politiknya.

Sebelum ini keadaan tangan kanan Trump mencetuskan pelbagai spekulasi berhubung tahap kesihatan keseluruhannya. - Foto AFP

Sebelum ini keadaan tangan kanan Trump mencetuskan pelbagai spekulasi berhubung tahap kesihatan keseluruhannya. – Foto AFP

Memetik tinjauan Reuters/Ipsos pada April lalu, sebanyak 51 peratus rakyat Amerika percaya tahap keupayaan mental Trump merosot sepanjang 2025 dan awal 2026.

Kajian sama turut mendapati, hanya satu perempat rakyat negara itu menganggap Trump seorang yang ‘tenang dan stabil’ dalam mengendalikan tugas presiden.

Sementara itu, tinjauan Washington Post/Ipsos pula menunjukkan hanya empat daripada 10 rakyat Amerika percaya Trump masih memiliki ketajaman mental yang diperlukan untuk memegang jawatan presiden.

Peratusan itu dilaporkan menurun sebanyak tujuh mata berbanding beberapa bulan sebelum ini.

Trump yang bakal berusia 80 tahun pada Jun depan, sebelum ini menjadi presiden tertua mengangkat sumpah jawatan selepas kembali ke Rumah Putih pada 2025, mengatasi rekod yang pernah dipegang Joe Biden.

Kesihatan fizikal Trump juga sering menjadi perhatian umum termasuk dalam kalangan sekutunya sendiri.

Menteri Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr, misalnya pernah berseloroh mengenai tabiat Trump yang gemar mengambil makanan segera dan minuman Diet Coke.

Menurut laporan sama, Trump turut menjalani imbasan CT di Walter Reed tahun lalu bagi memantau kemungkinan masalah berkaitan kardiovaskular.

Dalam satu acara di Pejabat Oval pada Mac lalu, Trump sekali lagi mempertahankan tahap kecerdasan mentalnya sambil mendakwa, beliau satu-satunya presiden yang pernah menjalani ujian kognitif sebanyak tiga kali.

“Ia bermula dengan soalan mudah, kemudian menjadi semakin sukar sehingga melibatkan persamaan matematik yang rumit,” katanya.

Isu kesihatan mental Trump kembali hangat diperkatakan selepas beberapa pemimpin Demokrat dilaporkan mendesak anggota Kabinet mempertimbangkan penggunaan Pindaan Ke-25 Perlembagaan AS bagi menyingkirkannya daripada jawatan presiden.

Desakan itu dibuat susulan beberapa kenyataan kontroversi Trump berkaitan Iran yang dianggap semakin tidak menentu dan agresif ketika konflik di Asia Barat masih berlarutan.

Dalam masa sama, laporan itu menyebut tahap keyakinan rakyat terhadap pejabat doktor Rumah Putih juga semakin menurun, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan laporan kesihatan presiden AS itu.- Agensi

Scroll to Top