Lawatan rasmi pertama Menteri Sumber Manusia dan timbalannya ke HRD Corp

Lawatan rasmi pertama Menteri Sumber Manusia dan timbalannya ke HRD Corp

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia yang baharu, Steven Sim Chee Keong dan timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad telah mengadakan lawatan rasmi pertama mereka ke Ibu Pejabat Human Resource Development Corporation (HRD Corp) hari ini.

Ketibaan mereka telah disambut oleh Yang Berbahagia Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood dan ahli Jawatankuasa Kepimpinan Kanan HRD Corp.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Norison Ramli.

Lawatan itu kesinambungan daripada siri lawatan Steven Sim ke agensi-agensi di bawah kementerian sejurus pelantikannya sebagai Menteri Sumber Manusia pada 12 Disember lalu.

Sewaktu kunjungan tersebut, beliau dan Abdul Rahman telah melawat kaunter perkhidmatan pelanggan dan beberapa jabatan penting di HRD Corp.

Kedua-duanya juga telah menerima taklimat ringkas mengenai fungsi, inisiatif dan pencapaian HRD Corp sepanjang tahun 2023, kata satu kenyataan hari ini.

HRD Corp juga berkongsi rekod tertinggi agensi untuk pungutan levi iaitu sebanyak RM2.2 billion, bayaran tuntutan sebanyak RM1.4 billion, tempat latihan sebanyak 2.1 juta dan majikan berdaftar sebanyak 90,000 dengan jumlah lima juta pekerja.

Dalam pada itu, Steven turut menyampaikan amanat kepada Jawatankuasa Kepimpinan Kanan HRD Corp agar dapat bersama-sama memperkasa agenda pembangunan modal insan negara.

Beliau turut menegaskan kepentingan kementerian dan agensi seperti HRD Corp untuk meningkatkan kemahiran dan menjaga kebajikan pekerja di samping memperkuatkan keberhasilan program dan inisiatif HRD Corp menerusi usahasama dengan rakan strategik di peringkat domestik dan antarabangsa.

Sementara itu, Abdul Rahman turut berhasrat untuk melihat kerjasama yang lebih erat dalam kalangan agensi dan jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia dan juga kementerian-kementerian lain. – MalaysiaGazette