Pelawak dan penyanyi, Achey meluahkan rasa syukur dan sebak menerusi satu hantaran di media sosial sempena ulang tahun kelahiran anak angkatnya, Tiara Zinnirah Nasir.
Menerusi hantaran tersebut, Achey berkongsi perasaannya sebagai seorang bapa yang berbangga melihat perkembangan dan keperibadian anak perempuannya itu.
Katanya, dia tidak malu apabila terdapat segelintir dalam kalangan netizen yang mengatakan dirinya menumpang anugerah dan aura Tiara.
“Mungkin awak akan baca caption ni bila dah besar nanti. Dalam tak sedar jatuh air mata ayah. Kadang ayah terfikir nak, layak ke menjadi seorang ayah kepada seorang anak yang hebat ni.
“Harapan ayah, agar Tiara jadikan seluruh kehidupan kamu dengan “kebaikan”.. Walau apa cara dan situasi sekalipun, wahai Tiara yang disayangi ramai dan ada juga yang mengatakan ayah menumpang anugerah aura kamu, ayah tak malu untuk mengtakan ‘benar’ kerana jawapan sebaliknya akan membuatkan orang tak selesa,” katanya.
Di akhir perkongsian tersebut, Achey sempat mendoakan agar Tiara memiliki keperibadian yang baik kelak.
“Maaf kalau ayah dengann mama ada tersilap corak untuk mencantikkan keperibadian kamu.
“Mungkin kamu lah yang kena lakukan sendiri untuk mencantikkan keperibadian kamu kelak dan sentiasa ingat Allah. Selamat ulang tahun Tiara Zinnirah Nasir,” tulisnya.




