SHAH ALAM – Pakar pendidikan sekali lagi mempersoalkan kewajaran kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diterima masuk di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Pensyarah kanan dan penyelidik bidang Sosiologi Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ia kerana isu itu membabitkan segelintir kecil murid berbanding lebih 400,000 pelajar seluruh negara yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Felo Bersekutu MINDA-UKM itu, pelajar boleh sahaja menggunakan sijil SPM dan kemudiannya memilih untuk menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) jika mahu memohon kemasukan ke IPTA.
“Jika berhajat memohon masuk ke universiti luar negara termasuk Taiwan walaupun STPM juga diiktiraf di kebanyakan universiti luar negara, maka ambillah UEC.
“Mengapa hanya kerana sekitar 2,000 pelajar yang tidak berminat menduduki SPM, jadi riuh satu negara? Berbaloikah disebabkan 0.5 peratus murid ini yang sebahagiannya merancang belajar di luar negara, kita sanggup ‘langgar’ Dasar Pendidikan Kebangsaan dan membelakangkan anak-anak bukan Melayu di peringkat STPM?
“Bukankah sepatutnya dinasihatkan, lebih baik pelajar UEC ini ambil SPM dan STPM untuk memohon ke IPTA?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Anuar berpandangan, isu UEC memang kecil dari segi data murid yang terlibat kerana hanya melibatkan sekitar 2,000 pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang tidak mengambil peperiksaan SPM setiap tahun.
Bagaimanapun, baginya, isu yang lebih besar adalah cabaran pembinaan negara bangsa, perpaduan kaum dan ketegasan dalam melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan itu sendiri.
Menurutnya, satu aliran persekolahan yang menggunakan kurikulum, bahasa pengantar dan sistem peperiksaan awam sangat penting bagi menyatukan kehidupan masyarakat berbilang kaum.
“Malaysia negara majmuk. 70 peratus Melayu bumiputera, 30 peratus lagi ialah kaum Cina dan India. Sepatutnya sekolah satu aliran adalah pilihan kita.
“Tetapi, pemimpin negara ketika merdeka sedar bahawa negara kita berbeza dengan negara lain seperti Indonesia atau Thailand. Di sana, kemajmukan kaum tidak serencam negara ini.
“Di Indonesia, hanya lima peratus warganegara berketurunan Tiong Hua. Kaum India sangat minoriti. Berbeza dengan kita di Malaysia,” ujarnya.
Atas dasar itu, kata Anuar, pimpinan kerajaan pada 1957 bersetuju supaya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diwujudkan menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara.
“Kedua-duanya, SJKC dan SJKT diberikan peruntukan serta perjawatan guru setiap tahun, sama seperti sekolah kebangsaan (SK). Kemudian pada 1961, diiktiraf pula Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) dalam sistem pendidikan kebangsaan.
“Di SJKC, diiktiraf bahasa Cina adalah bahasa pengantar. Di SJKT, Bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Tidak ada negara lain di dunia ini yang mengiktiraf kedudukan pendidikan vernakular sebagaimana dilakukan oleh Malaysia.
“Di saat kita sedang membina satu bangsa Malaysia, kita juga meraikan kepelbagaian identiti dan budaya kaum melalui pendidikan pelbagai aliran menerusi SJKC, SJKT dan SMJKC. Ini pendekatan menang-menang,” tegasnya.
Justeru, beliau yakin bahawa SJKC, SJKT dan SMJKC adalah sebaik-baik pendekatan untuk negara majmuk seperti Malaysia.
“Jadi, apa lagi yang masih tidak memuaskan hati Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan penyokong pengiktirafan UEC?” soal penganalisis itu lagi.



