BAKU, Azerbaijan: Pemandu Ferrari, Charles Leclerc menyambar petak pertama saingan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Azerbaijan di sini, sebentar tadi, yang dibayangi dengan kemalangan sehingga bendera merah terpaksa dikibarkan.
Juara dunia yang mewakili pasukan Mercedes, Lewis Hamilton akan memulakan perlumbaan sebaris dengan Leclerc yang tekad bangkit semula selepas jenteranya mengalami kerosakan dan terpaksa menarik dari GP Monaco sebelum ini meskipun sudah menduduki petak pertama.
Pemandu Red Bull, Max Verstappen yang mendahului Hamilton dengan empat mata dalam kejuaraan pemandu selepas berjaya memenangi GP Monaco, akan bermula di barisan kedua bersama pemandu Alpha Tauri, Pierre Gasly.
Sesi kelayakan ketiga dihentikan ketika berbaki seminit selepas rakan sepasukan Gasly, Yuki Tsunoda terbabit kemalangan di selekoh ketiga dengan pemandu Ferrari, Carlos Sainz yang sempat mengelak sebelum keretanya melanggar penghadang keselamatan.
– AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd
