LONDON: Penampilan sulung Jack Grealish bersama Manchester City berakhir dengan kekalahan selepas penalti lewat permainan Kelechi Iheancho memberikan Leicester City kemenangan 1-0 dalam aksi Perisai Komuniti.
Tumpuan diberikan kepada Grealish yang masuk di babak kedua selepas mencatat rekod perpindahan tertinggi British pada 100 juta pound (RM585.3 juta) dari Aston Villa.
Selepas berlatih buat pertama kali dengan rakan sepasukan baharu Jumaat lalu, Grealish masuk menggantikan Sam Edozie pada minit ke-65 dan tampil bertenaga.
Grealish, pemain Inggeris termahal dalam sejarah, tampak lebih memberi ancaman berbanding rakan sepasukan tetapi dikecewakan dengan jaringan Iheanacho selepas pemain Nigeria itu dijatuhkan Nathan Ake.
“Dia amat bagus. Agresif, mengancam benteng lawan, setiap kali mendapat bola tiga pemain mengepungnya. Dia akan mencapai tahap terbaiknya.
“Saya lihat banyak aspek positif hari ini. Saya tidak rasa kami bermain dengan teruk dan saya beritahu pemain-pemain saya tetap bangga. Tetapi dalam bidang ini kita kena menang.
“Kami akan mencapai tahap terbaik tetapi pemain-pemain akan tampil lebih baik Ahad depan. Itu proses yang perlu diharungi,” kata pengendali Man City Pep Guardiola.
Juara bertahan Liga Perdana Inggeris dan naib juara Liga Juara-Juara itu akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan di Tottenham pada 15 Ogos. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




