am@hmetro.com.my
Besut : Lelaki autisme yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemukan lemas dalam anak sungai Keluang Kecil, Kampung Raja, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Helmi Azman, 26.
Katanya, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang ternampak satu mayat yang tersangkut di dahan pokok di anak sungai Keluang Kecil, Kampung Raja, berhampiran sebuah sekolah menengah.
“Pasukan Penyelamat hadir ke tempat kejadian lebih kurang 12.15 tengah hari dan mayat dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan pengecaman oleh keluarga pada jam 1.30 petang.
“Mangsa dipercayai hilang lebih daripada 24 jam selepas dilaporkan hilang pada Khamis 28 November lalu,” katanya dalam
kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, kes mangsa bukan kategori korban banjir dan diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) autisme dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah keluarganya di Kampung Limbongan, Kampung Raja awal pagi semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd