suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Gombak: Seorang lelaki berusia 54 tahun yang ditahan kerana didakwa merogol remaja perempuan di Bandar Tasik Puteri, Rawang, pada 2 November lalu, disambung reman lima hari mulai 9 hingga 13 November.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata suspek dijangka akan dituduh minggu ini dan pihak polis akan mengemaskini tarikh sebutan nanti.
“Suspek telah disambung reman lima hari lagi bermula semalam hingga 13 November ini.
“Suspek dijangka dituduh minggu ini. Tarikh pertuduhan akan dimaklumkan semula,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, polis menahan lelaki berusia 54 tahun kerana didakwa merogol remaja perempuan di Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima laporan berhubung kes rogol membabitkan mangsa berusia 13 tahun jam 8.15 malam pada 2 November lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pengadu adalah ibu kepada mangsa, seorang wanita berusia 35 tahun.
Mangsa dipercayai dirogol oleh seorang lelaki dikenali yang juga penduduk di kawasan kejiranan terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




