am@hmetro.com.my
Klang: Seorang lelaki ditembak ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di bandar ini, malam tadi.
Berdasarkan video yang tular, lelaki terbabit ditembak di sebelah kereta dinaikinya.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa berdiri di sebelah kereta dan wanita yang memandu kenderaan berkenaan masuk ke stesen minyak.
Tiba-tiba, dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal menghampiri dari arah hadapan sebelum pembonceng melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Mangsa rebah manakala kedua-dua lelaki yang menunggang motosikal memecut dari lokasi.
Orang awam yang berada di stesen minyak berkenaan bertempiaran menyelamatkan diri.
Kejadian terbabit dirakam CCTV stesen minyak berkenaan dan kini tular di media sosial.
Bagaimanapun, tiada pengesahan berapa das tembakan dilepaskan, mangsa selamat atau sebaliknya selain motif kejadian.
Manakala, dalam satu video yang dirakamkan oleh orang awam pula, kelihatan pihak ambulans sedang mengusung mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah masuk ke kenderaan terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.
Berita lanjut menyusul
© New Straits Times Press (M) Bhd




