Lelaki durjana rogol anak tiri dijel 10 tahun, 10 sebatan

Lelaki durjana rogol anak tiri dijel 10 tahun, 10 sebatan

am@hmetro.com.my

Muar: Pembuat mi yang bakal menimbang cahaya mata ketujuh, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol anak tirinya, awal bulan ini.

Tertuduh berusia 32 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol anak tiri perempuan berusia 13 tahun di sebuah rumah di Tangkak, antara jam 2 hingga 4 pagi, 6 April lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa sedang tidur di ruang tamu sebelum tertuduh pulang dari tempat kerja.

Sebaik selesai mandi dan makan, tertuduh secara senyap-senyap menghampiri mangsa dan memaksanya melakukan perbuatan terkutuk itu.

Pada masa sama, tertuduh juga mengugut mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa termasuk ibunya.

Kejadian itu terbongkar apabila mangsa mahu melarikan diri dari rumah dan mengadu kepada guru sekolah berkenaan insiden yang menimpanya.

Gurunya kemudian menasihatinya membuat laporan di Balai Polis Ledang di sini, 15 April lalu dan susulan itu tertuduh ditahan pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang dipenjara serta pengawasan polis selama setahun sebaik selesai hukuman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top