Lelaki hilang bot terbalik ketika memancing, 2 rakan selamat

Lelaki hilang bot terbalik ketika memancing, 2 rakan selamat

am@hmetro.com.my

Mersing: Seorang pembantu khidmat am Sekolah Kebangsaan (SK) Nitar 2 di sini dikhuatiri lemas, selepas bot dinaiki terbalik di Sungai Lenggor di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohammad Putera Rizzurin Md Noh, 36, dilaporkan hilang, manakala dua rakannya berjaya menyelamatkan diri.

Komander Operasi dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Jailani Maimathu berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian kecemasan itu di Loji Air di Felda Nitar 2 pada jam 5.43 petang tadi.

Katanya seramai 16 anggota dari BBP Mersing dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Kluang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kejadian lemas berlaku di Sungai Lenggor membabitkan seorang lelaki dewasa berumur 36 tahun yang dilaporkan hilang, akibat bot yang digunakan terbalik ketika melakukan aktiviti memancing.

“Lokasi mangsa lemas dianggarkan kira-kira tujuh kilometer dari jeti loji air Felda Nitar 2.

“Seorang mangsa masih hilang manakala dua orang lelaki dewasa berusia 36 dan 29 tahun berjaya menyelamatkan diri dan berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Jailani, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melaksanakan operasi pencarian dan penyelamatan yang masih dilakukan sehingga kini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top