rnoraina@hmetro.com.my
Kajang: Pengawal keselamatan maut selepas diserang rakan dengan senjata tajam selepas pergaduhan di kawasan perumahan di Semenyih di sini, awal pagi semalam.
Lelaki berusia 38 tahun yang cedera di tangan dan badan disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis sebelum itu menerima laporan daripada pemandu lori mengenai perselisihan faham yang berlaku membabitkan mangsa yang juga rakannya pada 1.13 pagi.
“Lelaki berusia 37 tahun itu mendakwa sedang minum minuman keras di kawasan padang sebuah taman perumahan di Semenyih sebelum berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan jarinya cedera akibat terkena senjata tajam.
“Selepas itu, pengadu bersama empat rakan beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun rakan pengadu yang lain dikatakan tidak puas hati lalu ke kawasan rumah dihuni mangsa pada 4.30 pagi hari sama.
“Sampai di lokasi, mangsa terus diserang oleh salah seorang rakan pengadu dengan menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian tangan dan badan.
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia dan bedah siasat akan dijalankan 9 pagi ini,” katanya.
Berikutan itu, katanya, polis menahan lima lelaki berusia antara 31 hingga 37 tahun yang dipercayai terbabit kejadian dan merampas senjata digunakan.
Naazron berkata, semakan mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala mangsa mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, kesemua suspek akan direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau mana-mana balai polis berdekatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




