Lelaki maut motosikal bertembung lori

Lelaki maut motosikal bertembung lori

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang itu, mangsa, Mohamad Asrul Hisyam Mohamad Amin, 28, yang juga bekerja sebagai pembantu teknikal pencawang maut di lokasi kejadian selepas akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebelum kejadian sebuah lori Isuzu dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menuju ke Gua Musang.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggangi mangsa datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa bertembung dengan lori itu.

“Akibat kemalangan itu penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top