am@hmetro.com.my
Penampang: Seorang lelaki melecur kira-kira 80 peratus pada anggota badannya selepas tong gas petroleum cecair (LPG) terbakar di sebuah unit pangsapuri di Taman Penampang, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 29 tahun mengalami kecederaan serius akibat kebakaran yang berlaku di ruang dapur kediamannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.15 pagi.
Menurutnya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.22 pagi dan mendapati berlaku kebakaran membabitkan tong gas LPG di ruang dapur sebuah unit pangsapuri.
“Terdapat seorang mangsa lelaki yang mengalami kecederaan melecur kira-kira 80 peratus pada anggota badan akibat kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba segera memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital.
“Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.35 pagi,” katanya.
Menurutnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




