Guru muzik didakwa amang seksual 6 pelajar

Guru muzik didakwa amang seksual 6 pelajar

am@hmetro.com.my

Klang: Seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuan sekolah menengah di Sabak Bernam.

Tertuduh, Idi Johan Mohd Zohdi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, guru itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas enam pelajar perempuannya yang berusia 15 tahun bagi maksud seksual.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik kelas, stor barang muzik, sebuah rumah dan kereta di sekitar Sabak Bernam antara Januari 2025 hingga Februari lalu.

Justeru, tertuduh yang mengajar subjek muzik itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama dengan Seksyen 16(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Mengikut Seksyen 16 (1) akta sama, tertuduh juga boleh dikenakan hukuman tambahan penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Tertuduh diwakili peguam, Datuk Mohd Imran Tamrin; Mohd Hafizuddin Khan Norkhan; Ainul Aizat Ahmad Ishak dan Intan Syakieraa Zakaria.

Mohd Imran dalam rayuan memohon pengurangan jumlah jaminan terhadap tertuduh dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah dan tiada sebarang rekod lampau.

Mahkamah kemudian membenarkan kos jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan dan mengenakan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan termasuk menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 30 Julai depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top