am@hmetro.com.my
Kluang : “Saya yang menyebabkan dia hamil hingga melahirkan anak,” kata seorang lelaki yang mengaku bersekedudukan dengan seorang janda hingga melahirkan anak yang kini berusia tiga bulan.
Pengakuan itu dibuat lelaki berusia 20-an itu selepas pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ke sebuah rumah di kawasan terpencil dalam daerah ini sebaik menerima aduan mengenai pasangan terbabit, malam kelmarin.
JAINJ dalam satu kenyataan berkata, sebaik tiba di rumah terbabit pada jam 11.30 malam, penguat kuasa mendapati di luar dan dalam rumah dalam keadaan gelap.
“Rumah ini agak terpencil dan jauh dengan rumah penduduk lain. Penguat kuasa mengetuk pintu dan kira-kira lima minit kemudian, seorang lelaki berseluar pendek tanpa memakai baju membukanya.
“Sebaik menyuluh dalam rumah, penguatkuasa menemukan seorang wanita berseluar panjang dan memakai kemeja-T sedang duduk atas tilam sambil mengendong bayi berusia tiga bulan.
“Pasangan ini kelihatan tergamam dan akhirnya mengaku bahawa mereka hanya sebagai kekasih dan bukannya suami isteri,” katanya.
Katanya, hasil soal siasat mendapati, lelaki terbabit masih bujang dan bekerja di Kluang manakala wanita berstatus janda.
JAINJ berkata, apabila ditanya, lelaki terbabit mengaku dia yang menyebabkan wanita itu mengandung selepas beberapa kali melakukan perbuatan itu di rumah didiami sejak tahun lalu.
“Wanita mempunyai anak hasil perkahwinan dengan suami terdahulu dan kini dijaga oleh keluarganya. Pasangan ini sudah agak lama tinggal bersama seperti suami isteri walaupun belum bernikah.
“Malah, mereka juga tidak bergaul dengan jiran dan penduduk kampung. Namun, perbuatan pasangan ini berjaya dihidu oleh masyarakat sebelum mereka membuat aduan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bayi itu adalah anak tidak sah taraf dan memiliki sijil lahir tanpa nama bapa.
“Apabila ditanya adakah mereka berhasrat untuk bernikah, mereka mengiyakan namun mengakui ada beberapa perkara peribadi perlu diselesaikan terlebih dulu.
“Kedua-duanya pasangan ini ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berzina.
“Seksyen 23 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan jika didapati bersalah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




