am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan di Pantai Irama, dekat Bachok, 11 September lalu.
Tertuduh, Mohd Fariz Ibrahim, 37, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan berumur enam tahun empat bulan di taman permainan di Pantai Irama, dekat Bachok, jam 6.20 petang pada 11 September 2025.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu serius.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki yang memakai kostum watak kartun ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di taman permainan di Pantai Irama.
Kejadian dirakam oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




