Lelaki nyaris lemas, MPV terjunam ke sungai bertembung kereta elak biawak

Lelaki nyaris lemas, MPV terjunam ke sungai bertembung kereta elak biawak

am@hmetro.com.my

Jitra: Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berjaya diselamatkan orang awam selepas kenderaan dipandunya terjunam ke dalam sungai di Jalan Kampung Tok Mengkula, Sanglang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 7 petang semalam, Proton Saga dipandu lelaki berusia 38 tahun terbabas dipercayai cuba mengelak seekor biawak melintas di lokasi kejadian.

“Akibatnya, kereta dipandunya memasuki laluan bertentangan dan bertembung Toyota Alphard dipandu lelaki berusia 36 tahun itu

“Ia menyebabkan MPV itu terbabas dan terjunam ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata, mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, mangsa mengadu mengalami sakit di bahagian dada dan badan manakala pemandu Proton Saga itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“MPV itu berjaya dibawa naik dari dalam sungai manakala Proton Saga itu pula remuk di bahagian kanan hadapan.

“Setakat ini punca kemalangan disebabkan kereta Proton Saga terbabit hilang kawalan ketika cuba mengelak biawak sehingga memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan perlanggaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top