Lelaki penggal kepala isteri dipenjara seumur hidup

Lelaki penggal kepala isteri dipenjara seumur hidup

NEW DELHI – Mahkamah di Pune menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang lelaki warga emas yang membunuh dan memenggal kepala isterinya sebelum berjalan di jalan raya sambil membawa kepala mangsa serta sebilah kapak.

Hakim Mahkamah Sesyen Tambahan, Sumit Joshi membuat keputusan itu pada Selasa.

Tertuduh dikenali sebagai Ramchandra Sheu Chavan berusia 53 tahun ketika kejadian pada 2015.

Menurut polis, kejadian berlaku pada 9 Oktober 2015 selepas tertuduh bertengkar dengan isterinya, Sonabai, 45.

Dia didakwa mengurung menantunya, Sunita bersama dua cucu lelaki dalam rumah sebelum menyerang mangsa menggunakan kapak.

Polis berkata, tertuduh memenggal kepala isterinya sebelum berjalan di kawasan Katraj sambil membawa kepala mangsa dan kapak.

Suspek dipercayai membunuh isterinya kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan ahli keluarga. Foto Agensi

Suspek dipercayai membunuh isterinya kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan ahli keluarga. Foto Agensi

Siasatan mendapati dia dipercayai membunuh isterinya kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan ahli keluarga.

Sunita kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bharati Vidyapeeth.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan India kerana membunuh selain beberapa pertuduhan lain termasuk mengurung secara salah dan keganasan rumah tangga.

Pada perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 24 saksi termasuk pegawai perubatan dan pegawai penyiasat.

Mahkamah menyifatkan Sunita sebagai saksi utama kerana melihat sendiri tertuduh menyerang ibu mentuanya.

Sunita memberitahu mahkamah bahawa dia menjerit dan merayu supaya tertuduh menghentikan serangan, namun dia dikurung bersama anak-anak sebelum terdengar bunyi seperti memotong sesuatu.

Seorang wanita pemilik gerai teh yang melihat tertuduh berjalan sambil membawa kepala mangsa turut memberi keterangan di mahkamah.

Wanita itu berkata, dia sempat bertanya sama ada tertuduh menyembelih kambing sebelum lelaki itu mengaku telah membunuh isterinya.

“Saya ketakutan apabila melihat darah mengalir daripada kepala yang dipenggal itu,” katanya.

Seorang murid perempuan berusia sembilan tahun yang berada berhampiran lokasi kejadian ketika menunggu bas sekolah turut mengecam tertuduh di mahkamah.

Mahkamah turut menerima rakaman video yang menunjukkan tertuduh berjalan sambil membawa kepala isterinya.

Peguam bela berhujah pihak pendakwaan gagal membuktikan rantaian kejadian dan motif pembunuhan selain mempertikaikan rakaman CCTV dan video yang dikemukakan.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan keseluruhan bukti termasuk keterangan saksi dan laporan forensik berjaya membuktikan kesalahan tertuduh.

Mahkamah turut memaklumkan tertuduh yang dipenjara sejak 9 Oktober 2015 layak mengambil kira tempoh tahanan tersebut dalam hukuman penjara yang dijatuhkan. – Agensi

Scroll to Top