KOTA BHARU: Cubaan seorang lelaki positif dadah membawa 60,000 batang rokok putih menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Vellfire gagal selepas ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kubang Kerian, di sini awal pagi tadi.
Lelaki berusia 37 tahun yang positif dadah jenis amphetamine di tahan pada pukul 1.30 pagi semasa memandu dari arah Pasir Puteh menghala ke Kubang Kerian.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit menemukan 60,000 batang rokok putih yang disyaki rokok seludup.
Katanya, semasa ditahan lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan yang dibawa.
“Kesemua barang kes dirampas dan lelaki berkenaan ditangkap sebelum dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan ke atas tubuh suspek berkenaan tidak menemukan sebarang barang salah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku bekerja sebagai pemandu sepenuh masa selama tiga tahun dengan individu dikenali sebagai ‘Bos Jue’.
Katanya, suspek yang sudah berkahwin itu mendakwa menerima bayaran RM200 bagi setiap penghantaran dan memaklumkan ini adalah kali pertama dia ditangkap berkaitan kes rokok seludup.
“Kereta yang digunakan juga bukan miliknya, sebaliknya milik individu dikenali sebagai ‘Bos Jue’.
“Pemeriksaan rekod bagi kenderaan terbabit mendapati ia didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Batu Pahat, Johor dan tiada rekod berkaitan ditemukan,” ujarnya.
Ahmad Radzi berkata, nilai keseluruhan nilai rampasan termasuk rokok dan kenderaan berjumlah RM207,200.
“Selain itu, kita turut telefon bimbit dan wang tunai RM250. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.-UTUSAN




