am@hmetro.com.my
Butterworth: Pulau Pinang tidak boleh mengabaikan tiga perkara utama iaitu pembangunan ekonomi, perpaduan rakyat pelbagai kaum serta kebajikan masyarakat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim Chee Keong berkata, ketiga-tiga perkara itu perlu terus dipertahankan bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai negeri barisan hadapan dalam pembangunan ekonomi negara, selain mengekalkan kekuatan masyarakat majmuk dan memastikan rakyat yang berdepan kesusahan tidak terpinggir.
“Kita ada tiga perkara yang kita tidak abaikan. Pertama adalah negeri Pulau Pinang harus terus menjadi negeri barisan hadapan dari segi pembangunan ekonomi negara yakni hanya dengan adanya pembangunan, maka kehidupan rakyat akan menjadi lebih makmur.
“Keduanya, negeri Pulau Pinang harus mempertahankan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri kita. Kemajmukan identiti, kepelbagaian kaum, kepelbagaian bahasa, kepelbagaian budaya di negeri Pulau Pinang ini adalah kekuatan negeri kita yang harus dipertahankan.
“Dan ketiganya, negeri kita harus menjadi sebuah negeri yang penuh kasih sayang. Bukan senang, bukan semua orang akan berjaya. Ada yang hidup ini naik, ada turun. Jadi ketika rakyat Pulau Pinang menghadapi kesusahan, kesukaran, musibah dalam kehidupan, maka perlu ada dasar-dasar kebajikan untuk mendukung dan menjaga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tautan Kasih One Hope Charity yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, One Hope Charity telah mengagihkan 10,000 beg makanan kepada golongan memerlukan membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM3.5 juta.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pertubuhan One Hope Charity antara contoh badan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan menjaga kebajikan menerusi jaringan perniagaan dan penyumbang yang menyokong usaha membantu masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.
“Mereka tidak pernah memilih bulu, tak pernah tanya kaum apa. Hanya kaum tertentu saja boleh dapat dan sebagainya.
“Dengan parti politik pun dia tak tanya pun. Semua dapat, asalkan orang Pulau Pinang yang ada masalah, asalkan orang yang menghadapi kesukaran, maka One Hope bersama dengan mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi One Hope Charity Datuk Chua Sui Hau berkata, sepanjang 2021 hingga 2025, One Hope Charity menyalurkan lebih RM100 juta bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan, menyokong hospital kerajaan, menyumbang peralatan perubatan serta melaksanakan pelbagai program kebajikan.
“Pada program hari ini, setiap keluarga menerima bantuan bernilai kira-kira RM320 merangkumi barangan keperluan asas dan harian serta bantuan tunai RM200 untuk digunakan mengikut keperluan masing-masing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




