Lelaki rentung, kenderaan terbakar selepas langgar pokok

Lelaki rentung, kenderaan terbakar selepas langgar pokok

SHAH ALAM: Polis mengesahkan seorang lelaki maut dalam kejadian kebakaran dekat Jalan Batu Condong 27/44, Seksyen 27 di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa berusia 49 tahun itu dikatakan terperangkap dalam kenderaannya itu akibat kemalangan jalan raya.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila trak pikap jenis Mitsubishi Triton dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok dekat bahu kiri jalan sehingga mengakibatkan kenderaan itu terbakar.

“Mangsa terperangkap di dalam kenderaan dan gagal keluar sebelum api marak membakar keseluruhan kenderaan. Api kemudian berjaya dipadam oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang individu ditemukan dalam keadaan rentung selepas pacuan empat roda dinaikinya hangus dalam kejadian kebakaran dekat Jalan Batu Condong 27/44, Seksyen 27 di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memberitahu lelaki itu ditemukan dalam keadaan tersepit selepas kebakaran dipadamkan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.43 pagi sebelum menggerakkan sepasukan enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam ke tempat kejadian.

“Komander operasi melaporkan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dikenal pasti terlibat dalam kemalangan terbakar 100 peratus. Didapati seorang mangsa tersepit dan rentung di dalam kereta selepas api dipadamkan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top