Beijing: Kisah kesetiaan seorang lelaki di China sudah lebih sedekad menjaga pasangan yang mengalami tahap kecerdasan intelektual (IQ) seperti kanak-kanak berusia lima tahun akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya, menarik perhatian di media sosial negara itu.
South China Morning Post (SCMP) Shen Lan, 38, komited menjaga Li Mei di wilayah Zhejiang di timur China, sejak 10 tahun lalu
Pada 2014, sejurus sebelum perkahwinan mereka, Li parah dalam kemalangan jalan raya.
Dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan doktor mengeluarkan tiga notis penyakit kritikal. Li mengalami kerosakan yang ketara pada bahagian kiri otaknya.
Pasukan perubatan memaklumkan Shen bahawa walaupun mereka berjaya menyelamatkan nyawanya, Li mungkin kekal dalam keadaan vegetatif (sedar namun tiada interaksi).
Shen merayu supaya doktor melakukan segala yang mungkin untuk menyelamatkan tunangnya, malah menjaganya setiap hari. Ajaibnya, Li sedarkan diri selepas tiga bulan.
Difahamkan, mereka bertemu pada 2009 di sebuah stesen minyak iaitu tempat Li bekerja sambilan.
Ibu bapa Li tidak bersetuju dengan Shen kerana keadaan kewangannya, namun dia tetap teguh dalam keinginannya untuk berkahwin dengannya.
Pada 2013, ketika Shen dimasukkan ke hospital kerana apendisitis akut, Li menjaganya dengan teliti.
Shen mendedahkan dia menghabiskan semua simpanannya untuk rawatan Li berikutan kemalangannya, sering makan hanya dua kali sehari untuk menjimatkan wang.
Selepas terjaga, kebolehan kognitif Li menurun seperti kanak-kanak lima tahun.
Kos rawatannya berjumlah 5,000 yuan (kira-kira RM2,959) setiap hari. Untuk menampung perbelanjaan, ibu bapa Shen menjual ternakan keluarga dan meminjam wang daripada saudara-mara.
Susulan laporan media mengenai kisah pasangan itu, mereka turut menerima sumbangan daripada orang ramai.
Li akhirnya dibenarkan keluar dari hospital pada 2015. Sebuah rumah jagaan di Zhejiang menjemputnya untuk tinggal di sana dan menyediakan perkhidmatan pemulihan, dengan mengetepikan yuran.
Mereka juga menawarkan Shen jawatan sebagai pembantu jururawat, membolehkannya mencari rezeki sambil menjaga Li.
Sedekad selepas kemalangan itu, Shen dan Li, yang kini berkahwin, terus hidup bahagia di rumah jagaan itu.
Lelaki itu mengajar LI perkataan mudah, memainkan lagu untuknya, dan membantu mencuci rambut panjang isterinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




