mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pura-pura bawa lihat rumah di kawasan Taman Duta, dekat sini, sebelum dikurung di dalam bilik serta diugut supaya memindahkan wang ke dalam akaun menyebabkan lelaki warga China kerugian lebih RM1 juta, Sabtu lalu.
Menurut sumber, dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 37 tahun pada mulanya makan malam bersama rakan kongsi bersama individu lain termasuk isteri kenalannya.
“Dia kemudian dibawa melihat sebuah rumah kononnya ingin meminta pandangannya berhubung kediaman terbabit.
“Ketika berada di kediaman itu, dia kemudian dibawa ke salah satu bilik dan terkejut melihat empat lelaki memakai topeng serta pelitup muka mengacu pisau dan kayu,” katanya.
Sumber berkata, mangsa kemudian diminta memindahkan wang tunai secara dalam talian ke akaun bank sebanyak beberapa kali dengan jumlah keseluruhan lebih RM1 juta.
“Selepas berjaya mendapat wang itu, mangsa dikurung di dalam rumah itu manakala suspek beredar.
“Mangsa bagaimanapun berjaya memecah pintu bilik dan tampil membuat laporan di Balai Polis Sentul untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Polis sudah menahan empat orang iaitu tiga lelaki warga China dan seorang wanita warga China bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 395 KK dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




